Monday, December 28, 2015

Dahagakan Ilmu

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Saya sekarang dalam fasa dahagakan ilmu. Apabila mendengar pesanan salah seorang sifu saya; ilmu melambangkan berapa pendapatan kita dan sebaik mana taraf kehidupan kita. Saya memang dari kecil cintakan buku jadi bertambah cinta.  

Sejak kecil suka beli bermacam jenis buku terutama buku ilmiah dan buku agama tapi banyak yang tak habis baca. Cabaran betul mahu habis baca buku ilmiah. Kalau beli buku novel atau adventure memang laju sangat habis. Tapi sekarang, buku novel sudah berhenti  baca, kecuali novel ilmiah. Buku motivasi, ilmu perniagaan dan ilmiah memang jadi kegemaran saya. 

Saya sedar yang jadi payah nak baca walaupun minat sebelum ini adalah kerana saya tidak tanamkan baca untuk pandai, untuk tingkatkan kualiti kehidupan walaupun saya memang mahu tahu. Jadi keinginan mahu baca itu jadi macam hangat-hangat chicken poo-poo sahaja (cuba guna bahasa sopan)

Bahan bakar saya adalah mahu jadi lebih baik dari semalam. Mahu jadi lebih berjaya dari semalam. Mahukan pendapatan lebih baik dari semalam. Mahu lakukan lebih banyak perkara dari semalam. Mahu pulang ke kampung jumpa ibu lebih kerap dari kebiasaaannya. Mahu segala-galanya lebih baik. Dan semuanya ini hanya boleh dilakukan apabila kita mempunyai ilmu yang cukup dengan izin Allah SWT. 

Saya tidak akan berhenti mencari ilmu kerana saya tidak sempurna, sempurna itu hanya milik Allah SWT pemilik segala. Hanya dia meminjamkan saya sedikit kepunyaan-Nya. 

Jom sama-sama jadi pencinta ilmu. 

Salam Kaya & Berjaya Dunia Akhirat,
www.nhdbabyshop.com

Friday, December 25, 2015

Hebatnya Kata-kata Positif

Kata-kata Positif.

Teks: Nurul Diyana Mohamed. 

Dari kakak bayi ummi sedaya upaya usahakan untuk cakap perkara positif dengan anak-anak. Ummi ajak ayah sama-sama. Mula-mula agak payah tapi lama-lama terbiasa. Tapi disebabkan ummi dan ayah pun dah teracun dengan kata-kata negatif dari generasi ke generasi. Adalah dalam 80% kejayaan dan jadi kebiasaan. Sebab ada masa-masa kehabisan kata-kata terkeluar juga ayat negatif sepatah dua. Yang terbabas guna dan payah untuk dihilangkan dari kosa kata ialah perkataan "jangan".

Sekarang Hana dah 2 tahun 10 bulan, agak menggembirakan untuk ummi ayah apabila Hana selalu gunakan perkataan positif apabila bercakap. Contoh apabila dia suruh ayah baling bola ke dinding supaya bola melantun balik dan boleh sambut semula, ayah baru nak baling bola dia dah cakap " Wah! Hebatnya!" . Ayah pula yang berada di awang-awangan kena puji dengan anak-anak. 

Contoh lain apabila dia minta ummi tiupkan buih-buih sabun, bila ummi tiup Hana akan cakap "Wah, bagusnya" dan banyak lagi kata-kata positif, perkataan "boleh" juga antara perkataan sinonim dengan Hana. Hana memang suka buat ayat yang penuh ekspresi siap dengan nada suara dan mimik muka. 

Ummi dan ayah seronok betul apabila kena puji. Padahal tidak seberapa pun usaha dan kami lagi bersemangat hendak buat apa yang anak-anak minta. Agaknya itulah yang anak-anak rasa apabila kita puji-puji mereka.

Apabila kita ucapkan perkara negatif rasanya sesiapa yang pernah menonton rancangan Prof Muhaya di Youtube atau Televisyen tahu betapa berkuasanya ayat-ayat positif dan betapa teruknya ayat-ayat negatif melalui eksperimen-eksperimen Prof. Saya sendiri pernah bereksperimentasi dengan suami perkara yang sama. Apabila disebutkan ayat negatif seperti "Malas" atau bila mula ayat mengumpat seperti "dia tu kan?". Separuh tenaga kita akan hilang. Tubuh jadi lemah. 

Fitrah tubuh badan manusia memang memerlukan perkara-perkara positif sahaja, tetapi siapakah agaknya yang membudayakan budaya negatif yang tidak sepatutnya? jawapan saya adalah diri kita sendiri. Selama zaman berzaman, keturunan demi keturunan ayat-ayat negatif diturunkan. Bukan salah ibu bapa atau keturunan terdahulu tetapi mungkin mereka tidak tahu atau terlepas pandang. 

Jadi rasanya tanggungjawab kita generasi sekarang untuk mulakan perubahan demi generasi masa hadapan. Cuba sebaik mungkin, didik sebaik cara dan lakukan yang terbaik. Jadi pakar. Resam perlakuan positif, laksanakan berterusan selama 60 hingga 100 hari untuk jadikannya tabiat. 

Jom sama-sama ubat tabiat. Saya semakin bersemangat ini nak ubat tabiat positif bila anak-anal bagi semangat, dalam masa yang sama sedang ubah tabiat makan juga. Saya doakan anda semua berjaya dan tolong doakan kejayaan saya juga. In Shaa Allah kita sama-sama berjaya. 

Salam kasih sayang,
www.nhdbabyshop.com
www.nuruldiyanamohd.com

Thursday, December 24, 2015

Cabaran Menurunkan Berat Badan Hari -1

Teks: Nurul Diyana Mohamed.

Sebenarnya sudah hampir sebulan bertangguh untuk menyertai kelas diet sihat ini. Akhirnya berjaya juga memulakan dengan susah payah. Negatif betul ayat. Bila sebut susah payah separuh tenaga hilang. Mulai sekarang kita kurangkan penggunaan ayat-ayat negatif. Guna ayat-ayat positif seboleh mungkin. Hana dan Ammar juga sudah pandai dan mahir menggunakan ayat positif, terutama sekali Hana. Ummi ayah buat apa-apa perkara yang dia suruh buat, belum sempat berjaya dia sudah puji, "Wow! hebatnya!" 

Matlamat sekarang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadi seorang ibu yang fit, sihat, kaya dan berjaya dunia dan akhirat untuk Hana dan Ammar. Menurunkan berat badan ke tahap ideal adalah salah satu matlamat yang cuba dicapai. In Shaa Allah berjaya.  

Saya tertarik dengan perkongsian seorang ibu hebat yang terlibat dengan sukan angkat berat di Safiyya, TV9 kalau tidak silap saya, "Badan kita akan sakit-sakit apabila mengangkat bayi, akan lenguh-lenguh badan kerana badan kita tidak di train untuk melakukan perkara sedemikian, jadi kita akan mudah sakit badan, sakit kaki dan sebagainya". 

Apa-apa sahaja perkara semuanya memerlukan ilmu, duit yang disumbangkan untuk mencari ilmu tidaklah seberapa jika mahu dibandingkan dengan ilmu yang kita dapat. Saya belajar untuk tahu, untuk pandai dan bukan untuk bermegah-megah. Supaya misi saya lebih jelas, kekuatan saya lebih mendalam. Saya membayar yuran sebanyak RM150 sahaja untuk mengikuti kelas diet pemakanan sihat dan seterusnya mengikuti cabaran menurunkan berat badan bersama Coach Eija dan Coach Mazlina.

Banyak kali dah cubaan menurunkan berat badan tetapi apabila dilakukan sendiri cabaranya cukup besar dan seperti Yo-Yo. Sekejap naik, sekejap turun. Cabaran terbesar adalah selepas cerai susu Hana, sampai 10kg naik berat badan. Demand dua orang bertukar jadi satu, sebab itu jadi begitu. Masa tandem nursing dua orang anak dahulu, memang slim fan fit jugalah ummi. 

Mengikut ajaran sifu DAO, target kena kecil dahulu barulah senang dan bersemangat nak capai, jika diletakkan terus nilai yang besar, berkemungkinan semangat mudah patah dipertengahan jalan. Saya cuma target untuk turun 1kg sebulan dan akan mencapai berat ideal hanya selepas dua tahun dari tarikh permulaan iaitu pada 23/12/2017. Target untuk turun sebanyak 24kg ke berat ideal. In Shaa Allah berjaya. 

Kunci utama dalam penurunan berat badan pada hari pertama adalah minum air masak yang cukup, tingkatkan protein dan kurangkan lemak dan kalori. Ada meal plan yang perlu saya ikut sehari-hari, ada kiraan kalori untuk setiap makanan, doakan kejayaan saya ye semua. Untuk kehidupan yang lebih sihat, In Shaa Allah. Amin.

www.nhdbabyshop.com

Wednesday, December 23, 2015

Rindu Bonda

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Harini hati saya suram sikit, rindu bonda tersayang. Saat hati susah memang hanya bonda dan arwah ayah di ingatan. Benda lain semua lupa. Kerana merekalah kekuatan saya. Ingat mereka demi Allah SWT.

Walaupun telah menjadi isteri orang, telah memiliki dua orang anak tetapi sesiapa yang boleh lupa akan ibu bapa? Kalau tanya saya, jawapannya tiada. Kerana saya sendiri sangat rindu dan kasih pada mereka setiap saat dan ketika. Ayah telah pergi buat selama-lamanya. Hanya kiriman Al Fatihah tanda ingatan. Ibu pula hampir setiap hari kami berhubung, jauh di mata dekat di hati. Sedang tunggu saat dan ketika bertemu empat mata. In Shaa Allah dalam masa terdekat ini.

Saya akan pelik apabila ada insan yang mampu melupakan ibu bapa kerana kerja, melupakan solat kerana kerja. Itu namanya LEKA. Kesian mereka. Saya suka petikan di bawah, perkongsian dari WhatsApp;

Jika orang tuamu memilih untuk diam kerana takut engkau marah, maka mungkin engkau adalah anak derhaka
 
Jika orang tuamu harus berhati2 ketika berbicara dengan mu, maka sangat mungkin engkau anak derhaka
 
Jika orang tuamu takut memberi usulan (cadangan) yang baik untukmu kerana takut engkau marah maka sangat mungkin engkau adalah anak derhaka
 
Jika orang tuamu takut mengungkap keinginannya kepadamu yang engkau mampu memenuhinya kerana takut engkau marah, maka sangat mungkin engkau adalah anak derhaka.
 
Sangat pedih ayat buya yahya ni. Layan la jaga la mak ayah kita dengan baik selagi mereka masih ada. Ingat redha Allah terletak pada mak bapak kita.
 
Jangan lebihkan kawan daripada mak bapak. Mereka yang melahirkan membesarkan mencorakkan kita. Kau berdiri sampai sekarang ni hasil didikan mak bapak kau.
 
Sentiasa doakan mak bapak kita dlm keadaan baik, kesihatan yg baik dll. Anak yg soleh/solehah itu sentiasa mendoakan mak ayahnya.
 
Moga kita semua tergolong dalam golongan anak2 yg soleh/solehah. aminn

Amin Ya Robbal Alaamin.

www.nhdbabyshop.com

Monday, December 21, 2015

Impian Berubah

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Bila mengimbas kembali diri saya yang lama, langsung saya tidak menyangka saya kini menjadi seorang peniaga. Jika dulu impian saya adalah Ir. Kini impian saya sudah berbeza. Ingin menjadi Supermom. Bekerja, duit tetap masuk tetapi anak-anak dihadapan mata. Saya lebih selesa bekerja bersama anak-anak. Hati lebih tenang jiwa lebih senang walaupun kadang-kadang bila hujung minggu agak di luar kawalan.

Anak-anak jadi terlebih cergas bila dia tahu ayah ada di rumah, begitu juga bila balik kampung ada orang lain selain saya. Bila putera puteri terlebih aktif sampai tidur pun tidak mahu, mulalah saya mengarut, sebab jadual saya jadi kucar kacir. Kerja saya terganggu. Bila anak tidak tidur sekejap tengah hari bila penat mereka akan mengamuk dan meragam sampai ke malam.

Tapi itu cabaran biasa memiliki anak-anak kecil, waktu kecil cuma hadir sementara kerana sedar-sedar sahaja anak sudah besar, sudah pandai berdikari.

Kegembiraan bekerja masih belum mampu menandingi kegembiraan saya melihat anak membesar di hadapan mata. Menjadikan impian saya ketika masih bujang telah berubah. Kerana dulu saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin kerana saya sedar kehendak keluarga dan saya soal jodoh agak berbeza. Tapi jodoh itu rahsia Allah SWT datang pada saat yang tidak kita sangka.

Saya yakin dan percaya Allah SWT sentiasa beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Tetapi itu tidak bermaksud kita tidak perlu merancang. Perlu merancang dan berusaha untuk dapatkan apa yang kita mahu, bila sampai masanya tidak berjaya pasti ada sebabnya, kerana Allah SWT lebih tahu apa yang kita perlukan. Pasti DIA sedang sediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. In Shaa Allah.

Salam Kasih Sayang,
CadarKalisAir4u
www.nhdbabyshop.com

Sunday, December 20, 2015

Mimpi Ular dan Lebah

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Saya bukan orang yang selalu bermimpi, tidur pun tidur-tidur ayam sahaja. Dah jadi ibu dua anak ini pantang anak gerak sikit memang terjaga. Ada tu sebelum anak bergerak dah terjaga. Macam tahu-tahu sahaja. Naluri ibu mungkin. 

Malam tadi bermimpi sesuatu yang menarik dan pelik. Semuanya terjadi selepas layan anak-anak terjaga pukul 4 pagi dan tidur semula. Mimpi ular hitam yang besar dengan  jalur merah saga di sisi dan juga lebah. Selalunya orang kata mimpi benda berbisa dikaitkan dengan sihir. Tetapi saya ada apa hendak orang cemburu? 😊

Tetapi ada sesuatu yang menarik tentang mimpi tu, bila terjaga tidak banyak yang saya ingat. Cuma, yang saya ingat bisa ular boleh dibuat ubat dan lebah pula ada madunya bukan? Semua ini mainan tidur sahaja tetapi saya suka anggap ia sebagai gambaran disebalik setiap kesusahan itu pasti ada cahaya menanti. Itu lumrah alam. Kitaran kehidupan. 

Bila kita mengangap hidup seseorang itu indah di mata kita, tetapi pernah kah kita terfikir akan keadaan di kala kita tidak nampak? saya suka berpegang kepada kata guru saya, jika kita sibuk menambah baik kehidupan sendiri tiada sebab kenapa kita mahu kisah kehidupan orang lain. Tiada sebab mahu cemburu, tiada sebab mahu mengumpat. Doakan yang baik-baik sahaja. 

In Shaa Allah kehidupan kita juga akan jadi lebih baik dari sebelumnya, lebih tenang, lebih bahagia. Hidup ini pentas ujian, pentas pencarian bekalan untuk hidup yang kekal abadi. Andai di sia-sia kan dengan perkara tidak berfaedah tentu sayang. Ini juga ingatan buat diri saya sendiri. Semoga para pembaca bahagia di dunia dan di akhirat. 

A..minnn (Mohon Diperkanankan)

www.nhdbabyshop.com

Saturday, December 19, 2015

Ibu Saya Penoreh Getah

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Rentetan viral mengenai luahan hati anak penoreh getah yang menyeru supaya harga getah di kaji semula, saya juga ingin berkongsi pengalaman sendiri. Sejujurnya saya bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh beliau. Mengenai keperitan hidup penoreh getah masa kini.

Saya tidak malu untuk mengatakan saya juga anak penoreh getah. Malah ibu saya ibu tunggal yang membesarkan 8 orang anak selepas arwah ayah meninggal ketika saya berumur 15tahun.

Saya bangga dengan ibu saya. Beliau hanya berhenti menoreh hari raya yang lepas. Kerana sudah tiada kudrat. Walaupun menoreh bukan lagi keperluan di kala anak-anak semua sudah dewasa tetapi dek kerana sudah terbiasa bekerja keras, bebelan anak-anak dia pandang sepi.

Dari menoreh estet bersama arwah ayah, kemudian menoreh getah orang kerana tidak mampu lagi toreh kebun besar apabila arwah ayah sudah tiada, sehinggalah mok (arwah nenek) beri sekeping tanah kebun dalam setengah atau satu ekar (lupa dah). Tapi itupun separuh hasil pendapatan dikongsi dengan arwah nenek dan arwah kakak beliau (yang memiliki separuh dari kebun).

Jadi bayangkan pula apabila rezeki itu dibahagi dua atau tiga dengan pemilik kebun? Dalam kes ibu saya dibahagi tiga.

Hanya anak-anak penoreh getah sahaja yang tahu keperitan semua ini. Kerugian waktu hujan, bau busuk getah sekerap. Semua tu wangi. Sebab semua itu duit.

www.nhdbabyshop.com

Senyuman

Teks dan Foto : Nurul Diyana Mohamed
Senyuman paling ikhlas tentulah senyuman anak kecil. 

Semakin kita membesar semakin kurang senyuman dari wajah, lagi-lagi bila tertekan dengan kerja. 

Mengikut kajian, kanak-kanak tersenyum jauh lebih banyak berbanding orang dewasa. Semoga anak-anak ummi jadi orang yang mudah senyum sampai dewasa. Sebab senyuman itu sedekah, boleh menceriakan hari-hari orang di sekeliling, terutama sekali Ummi mereka.

Senyuman sebanyak 10saat selepas bangun tidur boleh menceriakan dan menarik aura-aura positif. Jom senyum 😊

www.nhdbabyshop.com

Anak Kaya dan Berjaya

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Saya sebenarnya teruja hendak kongsi soal yang satu ini sejak semalam, tapi ada kekangan masa. Harini suami bantu kemas rumah, terima kasih suami tersayang M Othman Jamilan yang jadikannya rutin hujung minggu bantu isteri, jadi saya curi sedikit masa untuk kongsi perkara ini demi anda semua. Sebab saya masih perlu siapkan anak-anak selepas ini untuk keluar.

Perkara ini nampak kecil tapi kalau kita dapat lakukan bersama tentu impaknya besar buat anak bangsa. Buat masa depan yang lebih baik. Ianya mengenai tentang belajar. Perkongsian Prof Muhaya  dalam rancangan Prof Muhaya Dot Com beberapa hari lepas.

Pesan beliau kita kena belajar untuk tahu, untuk faham, untuk pandai, bukan untuk lulus periksa. Bila belajar tujuan untuk lulus periksa semata-mata, lepas habis periksa nanti lupa. Walaupun markah tinggi menggunung, tapi kita tetap tidak pandai. Kena betulkan niat. Belajar untuk faham, bukan lulus periksa.

Saya sengaja tulis secara berulang kali supaya lekat di fikiran pembaca. Fakta kepandaian itu hadir bila sesuatu perkara di buat secara berulang-ulang. Bukan buat sekali terus pandai dan berjaya.

Untuk lebih pandai, kena ajar orang. Lepas cikgu atau pensyarah ajar cepat-cepat cari orang untuk di ajar. Prof Muhaya sendiri di suatu masa dahulu tidak sabar mahu ajar kawan-kawan yang tidak faham setiap kali habis kuliah. Patutlah beliau berjaya. Bila ajar orang, ilmu lagi senang kita faham dan lagi berkat, In Shaa Allah. Ini ikut pengalaman saya sendiri bila ajar kawan-kawan. Saya memang suka bila dapat ajar kawan-kawan semasa masih belajar dahulu.

Buat ibu bapa yang ada anak-anak kecil atau anak-anak sekolah, pesan pada anak-anak, beritahu mereka;

"Bila balik nanti ajar Mama/Ibu/Emak/Ummi".

Pasti anak lagi gembira dan semangat ke sekolah untuk belajar, dapat ajar ibunya bila pulang. Jadi kena faham dan pandai. Ibu ayah buat la bodoh-bodoh sikit bila anak mengajar. Ini penting untuk bina keyakinan diri anak-anak. Buat mereka rasa penting, rasa hebat. Keperluan mandiri anak-anak.

Saya ada cuba beberapa hari ini pada anak kecil saya Hana dan Ammar, mereka memang gembira belajar dan mengajar. Hana cuma genap 2 tahun 10 bulan hari ini, Ammar baru 1 tahun 3 bulan. Fitrah anak-anak itu lahir macam kain putih, bersemangat, baik akhlaknya. Jika kita masukkan input negatif, jatuhkan kepercayaan diri mereka tentu sungguh sayang.

Saya doakan kalian berjaya didik anak bangsa hebat milik anda semua. Juga mohon kalian doakan saya juga dapat jadi berjaya seperti anda.

Salam Kasih Sayang,
www.nhdbabyshop.com
www.nuruldiyanamohd.com


Friday, December 18, 2015

Tabung Ayah

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Malam tadi ayah dah buat tabung macam DAO ajar. Untuk elak kebocoran wang. Bersungguh ayah buat.

Tapi bila anak dara ni bangun pagi nampak tabung-tabung ayah.

Hana: Ummi, nak! nak beli aiskrim.

Ummi: Mintak ayah!

Hana: Nak. Nak aiskrim..

Tunggula ayah balik kerja nanti. :)

www.nhdbabyshop.com

Monday, December 14, 2015

Ayah Berkursus

Teks: Nurul Diyana Mohamed
Foto: Internet

Hari ini ayah berkursus. Ummi pula berkurus dengan anak-anak dalam bilik. Yang jadi berkurus tu sebab kena kejar anak-anak kan? anak-anak pula jenis yang memang bangun awal pagi, Alhamdulillah. Kali pertama ikut ayah berkursus sejak ada anak dua ini. Biasa lebih selesa di rumah. 

Kursus kali ini adalah untuk pembangunan diri dan keluarga, jadi bila ayah kata mahu saya dan anak-anak ikut. Memang tidak banyak cerita. Manalah tahu mungkin ini jadi titik tolak kepada kehidupan yang lebih baik dalam rumahtangga kami. Kursus bersama pakar motivasi perniagaan terkenal Dr. Azizan Osman. 

Kebetulan ummi ada perniagaan sendiri yang sekarang menfokus pada Cadar Kalis Air, nak pergi kursus yang makan masa berhari-hari macam ni memang tidak mampu memandangkan Ammar masih menyusu badan. Jadi hantarlah ayah. 

Dah cuba pergi Klinik Usahawan tempoh hari, separuh hari sahaja pun sudah rasa sangat kasihan dengan Ammar. Kakak saya, Nor Azizah yang jaga. Walaupun semuanya lancar, tetapi masa hendak tidur yang kebiasaaannya dia mengempeng, sedang mamai-mamai ibu anik dia pun dia sangka ummi. Kakak pula langsung tidak kisah, seronok bermain dengan sepupunya yang empat orang dan kawan-kawan, sampaikan langsung lupakan ummi. Ummi balik, langsung tidak hirau. Ingatkan akan dapat peluk rindu sebab dari pagi tak jumpa. 

Saya yakin dan percaya pada kata-kata yang selalu diutarakan oleh Dr. Azizan Osman, iaitu Ilmu kita akan menentukan pendapatan kita. Sebesar mana pun modal yang kita ada, jika dilaburkan tanpa ilmu ia akan lebur begitu sahaja. Saya pula memang mempunyai impian untuk menjaga anak sendiri, biar sesusah mana, saya akan pastikan anak di hadapan mata dan akan buktikan yang saya tidak pernah rugi memilih keluarga berbanding kerjaya Professional lama saya sebagai Jurutera Projek. 

Saya mahu kaya dan berjaya di dunia dan di akhirat bersama anak-anak dan suami serta insan-insan positif yang sentiasa di sampung saya termasuklah para pembaca sekalian. Tidak salah untuk memasang impian, pasanglah 101 Impian supaya ia jadi kayu api yang menjadi pembakar semangat untuk kita kaya dan berjaya di dunia dan di akhirat. Allah SWT memang sangat suka kepada hambanya yang Kaya dan Berjaya kerana banyak yang boleh kita lakukan untuk Islam. Doa saya bersama anda semua. In Shaa Allah. Amin.

www.nhdbabyshop.com
CadarKalisAir4u 
WhatsApp 0139747810


Beza antara Kejayaan dan Wawasan

Sebenarnya perkara-perkara kecil itu juga kejayaan. Contoh, apabila anak-anak berjaya didik anak pakai kasut dengan betul. Tepuk tangan dan pujilah. Ia akan bagi ENERGI pada anak untuk pergi lagi jauh. 

Kalau kejayaan dinilai sebagaimana mempunyai amaun 1 juta dalam akaun itu Wawasan. Raikan kejayaan yang kecil. Wawasan yang besar lebih senang dicapai dengan sokongan kejayaan yang kecil. 

Contoh paling mudah ialah ingin turun berat 20kg. Kalau target terus nak capai penurunan 20kg Memang susah nak capai. Letaklah panduan untuk turun 1kg sebulan dahulu. Dan raikan kejayaan itu. Tanpa sedar dah pun turun 20kg. Silap-silap kalau seminggu 1kg, 20 minggu dah boleh capai target. Senang sebenarnya. Cuma kita ni banyak sangat salah faham. 

Ingat, raikan kejayaan yang kecil. Walaupun sekecil berjaya membuat anak tersenyum. 😊

www.nuruldiyanamohd.com
www.nhdbabyshop.com
CadarKalisAir4u

Gadget untuk Dikawal Bukan Dihapuskan

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed

Di dalam gambar, Ammar sedang belajar huruf hijahiyah bantuan papan tulis dan gadgets. Saya sebenarnya bukanlah ibu yang terlalu moden, kalau ikutkan hati saya tidak mahu guna gadgets untuk anak-anak. Lebih suka mereka bermain dan meneroka tetapi kadang-kadang bila terlalu sibuk dan anak-anak mula buat aksi bahaya terbagi juga gadgets.

Hana seorang mahir dan banyak belajar sendiri tentang gadgets. Tak pernah diajar guna atau apa-apa. Tapi mungkin dia biasa lihat ummi dan ayah guna. Jadi mahir dengan sendiri. Kakak sepupunya yang umur 6 tahun pun pelik dengan Hana. Dia suka buat pandai dalam diam, tahu-tahu sahaja banyak perkara yang dia tahu sebenarnya. Cuma antara dia mahu tunjuk dengan tidak sahaja. Sebagai ibu yang 24jam bersamanya, tentulah saya yang paling banyak tahu apa yang dia mampu lakukan. 

Ammar pula suka sesuatu yang ceria, lebih suka melihat. Suka sangat video pembelajaran. Alif ba ta, abc..tapi mesti yang menarik. Tidak menarik pasti dia marah, tetapi masih belum mampu guna gadget sendiri. Kena orang buka kan. Biasanya kakak yang layan dia. Skrin tablet ummi pecah pun gara-gara dia bangun subuh hari jumpa tablet tetapi tidak boleh buka. Kena baling sampai pecah.

Gadgets bagi saya ada  baik dan buruknya. Boleh jadi membantu dan  boleh jadi juga melekakan. Tetapi perlu dikawal. Bila anak suka hadap tablet kadang-kadang ada rasa rugi sebab dia fokus pada skrin sahaja sedangkan jika buat aktiviti fizikal, banyak kemahiran dia boleh dapat. Saya sebolehnya tidak suka anak attach dengan gadgets. Suka rampas tiba-tiba atau kadang-kadang tidak bagi guna langsung. 

Berbanding kartun saya sebenarnya lebih suka beri anak tengok video bercorak pembelajaran. Tapi mengalami kesukaran untuk dapat video yang menepati citarasa anak-anak jika video tempatan. Malaysia banyak menumpukan pada cerita kartun upin ipin dan boiboi boy yang dialognya juga banyak kata-kata yang tidak enak di dengar. Memang ada pengajaran, tetapi anak-anak kecil tahu ke bezakan hendak ambil yang mana. Jika di ikut cara cakapnya sahaja?

Perbezaan inilah yang memerlukan pengawalan orang dewasa. Untuk memberitahu baik dan buruknya. Saya sentiasa berdoa walau apa pun yang anak lihat dan dengar, semoga hanya yang baik-baik sahaja masuk ke minda. In Shaa Allah. 

www.nhdbabyshop.com

Sunday, December 6, 2015

Followers

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Bila terserempak kawan yang itu, termesej kawan yang ini. Tengah-tengah cerita tiba-tiba mereka cakap. 

"D, saya selalu follow apa yang awak tulis. Banyak nasihat berfaedah, saya suka baca"

Bukan sekali dua, tapi banyak kali dengan orang yang berbeza. Kadang-kadang sampai sepatah ayat tersirat pun mereka faham. Sekarang pula dah jarang sangat menulis semenjak serius menfokus Cadar Kalis Air. 

Tiba-tiba rasa terharu, rupanya dalam diam ada ramai followers. Rasa takut dalam masa yang sama, takut tersalah tulis, takut ada yang terasa. Tapi kata guru saya, takut takut tak jadi apa, kita yang tak maju tak jadi apa-apa. Orang negatif akan fikir apa yang mereka mahu walaupun ianya bukan apa-apa.

Bila menulis, saya tidak mengharapkan apa-apa balasan. Cuma saya menulis untuk kekal beringat, untuk kekal berfikir dengan betul dan menulis juga bantu saya untuk kekal positif dan bersemangat. Alhamdulillah. Di dalam dunia kecil saya, saya memang perlukan itu semua. 

Terima kasih ALLAH. 

Sebenarnya saya belum serius menulis, tulis saya banyak sekitar catatan harian, catatan pengalaman dan apa yang saya fikirkan sehari-hari. Itu cara saya mengelat. Cara penulis untuk kekal menulis tetapi dalam masa yang sama tidak memerlukan saya membuat rangka kerja terlebih dahulu. Itu ajaran cikgu ABDR saya kak Masayu Ahmad. Terima kasih cikgu! 

Kepada yang menjadi pembaca setia, terima kasih. Doakan saya serius suatu hari nanti dan impian untuk menulis buku tercapai In Shaa Allah. Semoga Allah SWT berikan saya ilham dan ilmu yang tidak putus-putus. Tidak lupa juga kesihatan yang baik. In Shaa Allah. 

Tetapi buat masa sekarang, saya perlu fokus pada Cadar Kalis Air. Baby baru saya. Kepada yang berminat boleh layari www.nhdbabyshop.com/cadar-kalis-air Di sana juga ada maklumat lanjut dan testimoni. 

Salam Kaya & Berjaya,
www.nhdbabyshop.com

Friday, December 4, 2015

Selalu Kena Pijak Belakang Bapak

Teks: Nurul Diyana Mohamed
Foto: Internet


Saya pernah! bila jadi anak perempuan last dan satu-satunya anak perempuan yang ada. Tiap-tiap malam memang arwah ayah akan request urut dia. Pijak badan, siku, tekan kuat-kuat. Kalau tak, tak rasa. 

Tapi arwah juga selalu ingatkan saya, saya insan BERTUAH, insan BERUNTUNG. Walau arwah telah lama pergi (semenjak saya berumur 13tahun), tetapi setiap kali rasa sedih, ada sesuatu yang buat saya ingat pada kata-kata beliau.

Memang kalau pakar kanak-kanak kata anak-anak patut sentiasa dipuji, dipositifkan itu, mengikut pengalaman saya memang betul. Kadang-kadang rasa bersalah pula kalau tercakap benda negatif pada anak macam JANGAN. Sebenarnya itu lebih mendorong anak-anak untuk buat perkara yang kita larang. Bukan menghalang. Saya lebih suka guna perkataan HATI-HATI berbanding JANGAN. 

Mula-mula memang payah, sebab kita dah diracuni dan diprogramkan dengan terlalu banyak perkara negatif. Tapi alah bisa tegal biasa. Dah selalu buat, bila terbuat tu dah rasa bersalah. 

www.nhdbabyshop.com
www.nuruldiyanamohd.com
WhatsApp 0139747810

Thursday, December 3, 2015

Stock Cadar Kalis Air Warna Pink Menipis

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Pagi-pagi lagi dapat WhatsApp dari sifu Cadar Kalis Air saiz Queen cuma tinggal warna Beige sahaja. 

Belum sempat restock sudah licin. Beliau minta tolong poskan pada pelanggan stock yang saya ada. Memang laku keras! 

Secara tak langsung ramai yang dapat kami bantu. Alhamdulillah. Memang matlamat kami untuk menambah nilai dalam kehidupan orang lain. 

www.nhdbabyshop.com

#LapikTilam 
#CadarKalisAir4u 
#CadarKalisAir 
#AlasTilam 
#PottyTrain 
#Cadar 
#NHDBabyShop 
#PengeposanSeluruhMalaysia

Tuesday, December 1, 2015

Cadar Kalis Air

Teks: Nurul Diyana Mohamed

"Knock..knock.." tiba-tiba sahaja Poslaju Guy dah ada depan pintu. Alhamdulillah masalah poslaju yang dah berlarutan selama hampir 3tahun NHD BABY SHOP berjalan selesai juga. Alhamdulillah. Semoga semuanya lancar sampai bila-bila hendaknya.

Selepas pelbagai usaha dilakukan dengan bantuan semua pihak. Terima kasih pihak PosLaju, Politeknik Nilai dan EasyParcel kerana memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalah. 

Tinggal di kuarters kerajaan menjadikan kami seolah-olah dipulaukan daripada pihak pengeposan. Barang-barang yang dihantar tidak pernah sampai terus ke tangan. Perlu cari dahulu baru tahu ada. Apa akan terjadi sekiranya ada surat atau bungkusan penting yang di luar pengetahuan kami?

Untuk mereka yang bekerja selain pemberi perkhidmatan online seperti saya yang hampir 80 peratus pelanggan tinggal jauh dari kejiranan, memang terpaksa bergantung pada pihak kurier sepenuhnya. 

Saya sentiasa yakin bahawa setiap kesusahan pasti Allah SWT sediakan sesuatu yang lebih baik di sebaliknya. In Shaa Allah.

Semoga CadarKalisAir4u maju dan terus maju dan berjaya membantu lebih ramai insan yang memerlukan Cadar Kalis Air.

Setiap Ibu, Ayah, Datuk ,Nenek, Anak, Cucu dan sesiapa sahaja yang menggunakan tilam memerlukan Cadar Kalis Air. In Shaa Allah boleh membantu masalah penjagaan kebersihan tilam anda. 

Tiada lagi bau air kencing, darah haids dan nifas pada tilam anda In Shaa Allah. 

Tiada masalah kegatalan akibat hama tilam yang dikongsi di asrama lagi. 

Dapatkan segera selagi stok masih ada!

www.nhdbabyshop.com