Saturday, December 13, 2014

Pengenalan Dari Diyana

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Bismillahirrahmanirrahim..Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamua'alaikum w.b.t.

Salam perkenalan dari bumi Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Mungkin nama Bandar Enstek kali pertama anda dengar dari saya. Tapi kalau saya tanya lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Felda LB Johnson saya yakin ramai yang tahu. Kawasan bandar baru yang sedang pesat membangun.

Mula dibangunkan pada tahun 2002. Sempadan antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Menjadikannya lokasi strategik untuk apa sahaja.

Nama Bandar Enstek diambil sempena gabungan nama NSTC (Negeri Sembilan), dibangunkan dengan usahasama TH Properties dan Negeri Sembilan Development Corporation(PKNNS).

Nama Saya

Nama sebenar yang diberi oleh ibu ayah dan kakak-kakak saya adalah "Nurul Diyana" ejaan dan tulisannya begitu.

Mengikut cerita selama tiga hari tiga malam mencari nama untuk saya. Kesahihan cerita perlu di tanya kepada tuan empunya badan semuanya. Tapi itulah ayat yang mereka guna untuk menegur saya apabila terdengar kawan-kawan memanggil saya dengan pelbagai nama samaran.

Maksudnya "Cahaya Agama". Semoga peribadi saya seindah nama yang diberikan. In Shaa Allah.

Asal, Pendidikan, Minat dan Catatan Pengalaman

Anak kelahiran Ketereh, Kota Bharu Kelantan. Yang ketujuh daripada lapan beradik dan anak bongsu perempuan dalam keluarga. Mempunyai seorang adik lelaki. Berada di tengah-tengah antara dua anak lelaki dalam keluarga menjadikan saya seorang yang agak lasak. Walaupun mempunyai lima orang kakak, tetapi jarak umur yang jauh menyebabkan kami tidak dapat membesar bersama-sama.

Bersyukur dan merasa bertuah dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana kampung. Mendapat pendidikan awal dari rumah daripada ma dan arwah ayah. Arwah ayah juga adalah guru mengaji saya dan ramai lagi anak-anak kampung yang lain. 

Mula bersekolah pada umur 6 tahun di Tadika Sri Wangi, Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada Tahun 1992.

Menamatkan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ketereh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh masing-masing pada tahun 1998 dan 2003.

Menjadi antara peserta perintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2004. Satu program yang hebat dalam membentuk sahsiah diri. 

Berjaya menyambung pengajian di peringkat Diploma di Universiti Malaysia Pahang dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Elektronik Industri) pada tahun 2004 sehingga 2007. Dan kemudiannya menerima tawaran sekali lagi bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari tahun 2007 sehingga 2010. Di sinilah permulaan hidup berdikari saya jauh dari keluarga yang banyak memberikan saya pengalaman hidup yang sangat bermakna dalam mencorakkan siapa diri saya pada hari ini.

Semasa masih belajar, saya pernah menjalankan latihan industri sebagai Pelatih Juruteknik di sebuah syarikat swasta di Ampang pada tahun 2007 dan Pelatih Jurutera pada tahun 2010 di TNBD Kulaijaya. 

Pernah menyertai latihan Program Lepasan Ijazah tajaan Bank Negara Malaysia pada Mac hingga May 2011. Satu program yang sangat bagus dan antara kenangan manis dalam hidup saya kerana dapat bersua muka dan berkongsi pengalaman dengan ramai tokoh-tokoh hebat negara kita. Malah saya dan kawan-kawan pernah berborak sehingga lewat malam bersama Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel bin Tengku Ariff, bekas CEO Proton pada ketika itu. Seorang yang sangat baik, rendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kami. 

Memulakan kerjaya pertama sebagai Jurutera Elektrik dan Elektronik di sebuah syarikat terkemuka dengan bantuan Bank Negara Malaysia pada Jun 2011. Diberikan kepercayaan memegang amanah baru sebagai Jurutera Projek (Elektrik) November 2011 dan menguruskan semua projek baru syarikat di Klang dan Banting. Meminati dan bekerja dengan sepenuh hati sehingga mendapat banyak respon yang positif selama bekerja tetapi sayangnya terpaksa berhenti kerja dan berpindah ke Bandar Enstek mengikut suami selepas berkahwin pada March 2012. 

Ketika itu saya nekad berhenti kerja kerana tidak sanggup tinggal berasingan dengan suami dan bertekad untuk menjadi isteri yang baik selain mempunyai harapan yang besar ingin mengejar Syurga Allah S.W.T. bersama suami dan anak-anak.

Disebabkan saya seorang yang kuat bekerja, saya menjadi sangat bosan dan tidak betah berada di rumah. Saya kemudiannya  menerima tawaran bekerja sekali lagi sebagai Jurutera Projek di sebuah syarikat kontraktor di Lukut, Port Dickson. Saya sangat gembira dan merasakan seperti mempunyai nafas baru apabila dapat kembali bekerja. 

Di syarikat baru, saya dikehendaki menguruskan projek membuat pemasangan menara sistem penghantaran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memerlukan saya masuk keluar hutan bagi memantau projek selain terpaksa berulang alik dari Port Dickson-Perak-Bukit Mertajam. Tetapi saya tetap gembira walaupun penat. Saya kemudiannya disahkan hamil dan selepas berbincang dan bermusyawarah dengan suami, selain nasihat kawan-kawan yang bekerja dalam bidang perubatan. Sekali lagi saya terpaksa mengorbankan kerjaya saya demi suami dan anak dalam kandungan kerana suasana kerja yang tidak sesuai.

Pada mulanya saya takut dan bimbang untuk memberitahu keluarga, bimbang dimarahi tetapi rasa tidak selesa kerana kebiasaanya apa sahaja yang berlaku saya pasti memberitahu ibu saya. Beliau ibarat teman baik saya. Lagipun hanya beliau yang saya ada setelah arwah ayah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya ketika saya masih berumur 15 tahun.

Akhirnya saya memberitahu dan menjelaskan sebab-sebab kenapa keputusan berhenti kerja dibuat kepada ibu. Pada mulanya beliau sedikit ralat kerana bimbang akan masa depan saya tetapi beliau sedar itulah jalan terbaik pada masa itu dan terus menyokong setiap tindakan saya sehinggalah ke hari ini. Walaupun ada juga suara-suara sumbang, tetapi hanya redha ibu dan suami yang penting buat saya. Syukur pada Allah S.W.T. kerana Dia lah pengurnia segala. 

Saya melahirkan anak pertama, bayi perempuan secara pembedahan kecemasan pada 19 Februari 2013 walaupun bukaan sudah lapan sentimeter kerana dikatakan "fetal distress" tetapi Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Mungkin sudah tertulis bukan rezeki saya untuk melahirkan secara normal.

Syukur kepada Allah S.W.T. atas rezeki yang tidak di sangka-sangka, saya berjaya hamil dan melahirkan anak kedua, seorang lelaki secara normal pada 28 Ogos 2014. Kini kami sudah ada sepasang cahaya mata. 

Tetapi di sebalik hidup yang kelihatan lengkap segala, dirasakan masih ada yang kurang. Dipendekkan cerita, saya akhirnya menyedari bahawa saya mempunyai minat yang besar dalam dunia penulisan. Walaupun minat itu telah ada dalam diri semenjak masih kecil, hanya sekarang saya berani mengorak langkah memenuhi minat yang satu ini. 

Saya kemudiannya membuat keputusan dalam masa yang singkat bagi menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) bagi mendapatkan pendidikan dan sokongan dalam bidang penulisan dan perniagaan. ABDR adalah sebuah rangkaian sokongan bagi ibu-ibu yang bekerja atau ingin bekerja dari rumah. Setelah menyertai ABDR dan mempelajari asas penulisan, saya menjadi semakin yakin dan bersemangat untuk meneruskan minat menulis. 

Saya merupakan seorang ibu yang suka memberikan dan menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Dalam mendidik anak-anak, saya sentiasa mencari teknik-teknik terbaik yang sesuai digunakan di zaman yang serba canggih ini. Sangat meminati konsep "Positive Parenting" dan pendidikan anak-anak cara Islam. 

"Positive Parenting" adalah cara mengendali dan mendidik anak dengan kaedah percakapan atau perbuatan yang positif. Kita tidak boleh menegur, memarahi atau mengherdik anak-anak dengan perkataan negatif seperti "jangan", "tidak", "takut", "pemalas", "bodoh" dan sebagainya. Malah, Islam sendiri melarang kita menggunakan ayat-ayat yang tidak elok semasa bercakap dengan anak kerana bimbang akan menjadi doa. 

Atas nasihat dan panduan mentor saya yang juga pengasas ABDR, Puan Masayu Ahmad. Saya dengan rasminya membuka blog "Pendidikan Awal Kanak-Kanak" ini dengan harapan dapat berkongsi pengalaman yang sedia ada dan juga misi pencarian ilmu saya dengan anda semua. 

Saya percaya apabila kita mendidik anak-anak dengan baik sebenarnya secara tidak langsung kita juga akan merasa terdidik. Apabila saya berpesan kepada semua, saya juga akan merasa dipesan. jadi motto saya ialah " Mendidik untuk dididik, mengingatkan untuk beringat, Inni Akhafullah". 

Doakan semoga ibadah ini diterima oleh Allah S.W.T dan bermanafaat untuk semua pembaca. Semoga kita semua berjaya mendidik diri dan anak-anak menjadi insan yang soleh dan solehah di dunia dan di akhirat. Aamiin..




No comments:

Post a Comment