Saturday, February 14, 2015

Mengimpikan Anak Menjadi Hamba Allah SWT Yang Baik

Teks: Nurul Diyana Mohamed
Foto: Internet

Mungkin ramai yang mengimpikan anak mempunyai kerjaya bagus seperti Doktor, Saintis, Pensyarah, Cikgu dan sebagainya.
Tetapi alangkah manis jika anak mempunyai kerjaya yang bagus disertakan menjadi hamba Allah SWT yang baik. Dan sekiranya diberi pilihan antara mempunyai anak yang soleh dan wang ringgit yang banyak, saya memilih anak yang soleh.

Saya mahukan anak-anak saya menjadikan kerjayanya sebagai satu ibadah. Buat apa pun dapat pahala, semuanya kerana Allah SWT.

Semua ibu mahukan anak-anak hidup senang tetapi saya bukan sahaja mahu anak hidup senang di dunia malahan di akhirat.

Terkesan dengan pemergian Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz semalam. Ma dan arwah Ayah saya sering mengikuti ceramah beliau di Medan Ilmu, Kota Bharu setiap pagi Jumaat. Bila Ayah meninggal, sayalah yang menjadi teman setia ma ke Medan Ilmu setiap hari jumaat. Bersila di kaki lima sahaja kerana di situ bukanlah tempat khas tetapi cuma di tengah-tengah deretan rumah kedai.

Masa di awal remaja saya sangat suka menemani ma sebab saya suka dengar ceramah agama selain seronok tengok orang meriah berniaga di sekeliling. Macam pesta. Murah dan sedap makanannya, barang lain pun ada. Lepas sahaja dengan ceramah agama, kami apa lagi, beli barang makanan. Kadang-kadang ma beli barang keperluan. Seronok.

Sebenarnya tidaklah setiap kali jumaat itu TGNA yang memberi ceramah tetapi setiap kali beliau yang bagi ceramah, semua orang gembira. Tidak kira apa sahaja perbezaan parti politik, semuanya menghadirkan diri. Dengar ceramah agama kan? Bukannya dengar ceramah parti. Lagipun tidak pernah pula saya perasan Allahyarham TGNA menyebut isu-isu politik dalam ceramah agama beliau. Dan itulah yang paling saya suka.

Pernah semasa berpantangkan Ammar, saya berangan-angan membawa Ammar kepada Allahyarham TGNA. Tetapi kerana ayah yang selalu balik kampung sekejap sahaja, tidak sempat pula untuk berjumpa beliau. In Shaa Allah sekiranya berkesempatan, balik Kelantan minggu depan mahu menziarahi kubur beliau dan arwah ayah.

Keadaan semasa majlis pengkebumian Allahyarham Tuan Guru sebenarnya mengingatkan saya kepada majlis pengkebumian arwah ayah. Walaupun tidaklah sehingga 300,000 orang datang menziarah tetapi semasa arwah ayah dulu kami adik beradik terkejut dengan kehadiran orang yang sangat ramai sehingga di laman rumah kami tidak mampu bergerak. Kereta memang langsung tidak boleh masuk ke lorong kawasan perumahan kami kerana ramainya orang. Ribuan manusia entah dari mana. Itupun selama berminggu-minggu ada sahaja yang datang melawat tidak putus-putus. Dan kebanyakkannya tidak kami kenal.

Arwah ayah hanyalah seorang Imam surau. Surau kecil itu dibinanya sendiri di atas tanah pusaka kami yang menjadi tempat orang kampung berjemaah apabila masuk waktu solat. Yang kami tahu arwah ayah bersekolah pondok, menjadi imam surau dan selalu dijemput memberi ceramah-ceramah agama di surau-surau di kampung berdekatan. Yang kami kenal, beliau ayah kami yang tegas dalam mendidik anak-anak dalam hal agama. Itu sahaja. Tetapi entah dari mana datangnya orang yang ramai. Ke mana sahaja kami pergi selepas itu, seluruh pelosok kelantan juga ada yang mengenali beliau. Kami anak-anak sampai sekarang merasa aneh dengan apa yang berlaku. Kuasa Allah SWT menzahirkan kuasanya kepada kami yang arwah ayah juga seorang yang alim dan dihormati dengan kehadiran ribuan orang yang menziarah entah dari mana.

Orang baik-baik memang umurnya tidak panjang. Ayah meninggal dalam usia lima puluhan ketika saya berumur lima belas tahun, masih terlalu muda dan dahagakan kasih sayang beliau. Semenjak itu, rutin pagi jumaat saya adalah di sisi kubur beliau.

Pada mulanya saya tidak kuat kerana arwah meninggal secara tiba-tiba. Pernah juga pengsan kerana terkejut, tiada siapa berani untuk memberitahu saya yang ayah sudah tiada, paginya saya tinggalkan arwah ayah dalam keadaan sihat walafiat, dengan gelak tawa rajuk manja kerana arwah lewat pulang selepas menghantar anak saudara ke sekolah sehingga saya terpaksa berbasikal sendiri ke sekolah. Pulang lewat dari sekolah tengok orang ramai, sempat saya bermonolong merajuk lagi kerana arwah ayah tidak memberitahu ada kenduri.

Masuk ke rumah menggunakan pintu dapur setelah semua orang memandang terpinga-pinga, malu jadi perhatian. Lemah longlai kaki saya, buku dan barang sekolah entah ke mana apabila abang datang dan beritahu ayah sudah tiada dan disebalik dinding saya bersandar ada jenazah arwah ayah.

Kusangka kenduri rupanya ayah dah tiada lagi buat selama-lamanya. Yang ada sempat saya jumpa cuma sekujur tubuh kaku berbau wangi seolah-olah sedang tidur. Agak lama saya memengsangkan diri mengumpul semangat untuk keluar dari bilik membaca yassin untuk arwah. Kerana saya juga abang yang tidak pernah tumpah air matanya menangis.

Saya anak bongsu perempuan yang paling rapat dan manja dengan arwah tetapi dalam masa yang sama seorang yang berdikari. Masa itu saya seperti hilang segala-galanya. Bagi saya, tiada lagi orang yang akan mengambil berat tentang saya. Sanggup menunggu tiga puluh minit sebelum saya habis waktu sekolah untuk menjemput saya pulang. Yang kemudiannya saya teman beliau untuk berbual dan minum-minum di kedai kopi sebelum balik ke rumah. Indahnya saat itu.

Setahun saya ambil masa untuk kembali ceria, sebelum itu, teringat sahaja sudah boleh buat saya menangis, belum lagi bercerita. Semangat ibu, bacaan yassin dan doa-doa untuk beliau jadi penguat semangat saya untuk teruskan hidup semasa. Kalau sebelumnya saya mengada-ngada ingin berdikari, tetapi akhirnya saya betul-betul terpaksa berdikari. Menguruskan pendaftaran ke universiti juga sendiri, heret beg ke universiti juga tanpa ditemani insan bergelar ibu atau ayah.

Saya sendiri membawa bagasi menaiki bas ke Perak berjumpa dengan kakak untuk meminta tandatangan pengesahan jaminan tanggunggan, kemudian ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan tandatangan kakak yang nombor dua sebelum mendaftarkan diri ke Universiti Malaysia Pahang menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Mujurlah ada seorang kakak sanggup menghantar dari Perak ke Kuala Lumpur dan akhirnya ke Gambang, Pahang. Kenangan yang tidak pernah saya lupakan.

Bila hati ada pada Allah SWT, In Shaa Allah kita kuat. Sebab itu saya mahu anak-anak hidup kerana Allah SWT, jadi Hamba Allah SWT yang baik. Kerana apa sahaja dugaan yang melanda bila kita ingat Allah SWT, In Shaa Allah segalanya akan jadi mudah. Apa-apa keputusan yang ingin dibuat juga kena bertanya Allah SWT dulu, buat istikharah. Itulah yang saya cuba praktikkan dalam kehidupan saya sekarang. Semoga kita semua dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.

In Shaa Allah.

No comments:

Post a Comment