Tuesday, June 16, 2015

Tips Menyusu Dengan Bertenaga Di Bulan Puasa

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Sudah beberapa hari tidak menulis apabila anak demam dan kemudian jadi terlebih manja sejak akhir-akhir ini. Bilalah agaknya hendak istiqamah menulis.

Kali ini sebagaimana tajuk saya akan kongsikan tentang penyusuan susu ibu di bulan puasa yang saya pelajari hari ini di TV Al Hijrah jam 9 pagi tadi untuk tambah ilmu sedia ada. Perkongsian ini adalah atas permintaan rakan-rakan. Mungkin ramai yang sedia menyedari bahawa ilmu sangat penting dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Dengan ilmu yang tidak seberapa inilah saya kuat dan berjaya menyusukan anak sulung Hana Damia dengan susu ibu selama 2 tahun 1 bulan. Menyusukan secara tandem nursing bersama anak ke dua Rizq Ammar semenjak berusia 18 bulan dan masih lagi menyusukan anak kedua saya sehingga sekarang secara ekslusif. Alhamdulillah, bersyukur atas rezeki yang Allah SWT berikan. Hanya Dia sahaja pemilik segala yang ada di langit dan di bumi.

Walaupun pernah menyusukan anak pertama di bulan puasa dan hamil dalam waktu yang sama tetapi kebimbangan menghadapi bulan puasa kali ini tetap ada. Bukan apa, lain anak, lain ragamnya, lebih-lebih lagi target saya untuk menyusukan secara ekslusif, In Shaa Allah.

Berbalik kepada perkongsian ilmu di TV Al Hijrah tadi, satu fakta yang dikongsikan yang saya percaya akan menenangkan semua ibu yang menyusukan adalah;

"Menurut kajian yang dilakukan badan ibu menyusu akan mengalami perubahan metabolisma di bulan puasa yang membolehkan ibu tetap menyusukan anak di bulan puasa, jadi menyusukan anak pasti boleh dilakukan walaupun ketika sedang berpuasa"

Ibu-ibu mungkin akan mengalami kekurangan susu tetapi hanya dalam 1-2 auns sahaja. Yang penting, cara pemakanan yang betul harus dijaga supaya badan kekal bertenaga.

Cadangan Pemakanan:
1) Ambil makanan sihat lengkap; karbohidrat, air, buah-buahan, protein dan sayur-sayuran. 

2) Elakkan makanan berminyak, berempah dan pedas kerana makanan sebegini susah untuk dicernakan.

3) Banyakkan makanan berkuah seperti makanan rebus dan sup.

4) Banyakkan meminum air dari berbuka sampai sahur (3.5 liter sehari). Air yang dicadangkan adalah air suam.

- Pada ketika ini pengacara ada mempersoalkan mustahil hendak meminum air sebanyak itu di bulan puasa. Tetapi tetamu jemputan cikgu susu ain menegaskan bahawa beliau sendiri merupakan ibu menyusu.

-Beliau menerangkan semuanya boleh dilakukan, cadangan beliau adalah meminum satu gelas air suam setiap satu jam supaya badan kekal hidrat.

Pengalaman saya sendiri sebagai salah seorang SID dan pengamal vitamin Shaklee yang sangat mementingkan pengambilan air putih sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Saya pasti ini boleh dilakukan.

Tips peribadi saya, botolkan siap-siap sukatan air yang hendak diminum dan letakkan di tempat yang mudah dilihat.

Atau pernah juga saya cuba gunakan botol air 500ml dan sentiasa bawa bersama. Bila nampak pasti minum, dan badan memang rasa sangat selesa.

Elakkan pengambilan air banyak-banyak dalam satu masa kerana itu adalah satu tindakan yang salah. Nanti kerap pula ke tandas apabila terlebih minum air, apabila ini berlaku air yang kita minum itu jadi sia-sia.

Bagi ibu yang bekerja juga boleh tetap menyusukan anak walaupun ketika berpuasa, bagi mengelakkan bekalan susu berkurang dicadangkan melakukan power pumping sekali seminggu di waktu malam selama sejam.

Teknik power pumping kita meniru keadaan di mana anak kerap menyusu ketika sedang mengalami pecutan pertumbuhan (lebih pertumbuhan dari waktu biasa).

Yang selalu kita kata anak meragam nak menyusu sahaja tu agaknya fasa semulajadinya.

Cara melakukan power pumping;
- Lakukan selama satu jam
- Bagi pengguna dua pam lakukan 20 minit memerah, 20 minit rehat, 20 minit memerah (cukup 60 minit bersamaan 1 jam)
- Bagi pengguna single pump, lakukan secara bergilir-gilir 10 minit setiap satu sehinggalah cukup 1 jam.

Sesetengah ibu akan menghentikan sesi pam di pejabat kerana bimbang penat tetapi apa yang akan berlaku jika dibiarkan susu penuh tanpa pam seperti biasa, badan akan memberi isyarat untuk mengurangkan atau menghentikan pengeluaran.

Ini juga prinsip yang saya pegang selama menyusukan anak-anak selama ini dan selalu nasihatkan kawan-kawan. Ajaibnya kuasa Allah SWT, pengeluaran susu adalah bergantung kepada demand atau keperluan bayi.

Penggunaan pam adalah satu peniruan yang penting bagi ibu yang bekerja. Malah saya mempunyai sahabat hebat yang tidak mampu menyusukan anak secara normal kerana masalah keistimewaan fizikal anak (lelangit istimewa sejak lahir) tetapi masih berjaya meneruskan penyusuan susu ibu secara ekslusif sebagaimana sepatutnya dengan izin Allah SWT. Dan anaknya tidak pernah menyusu secara terus. Hebat bukan?

Jadi, teruskan mengepam di pejabat. Jika anda tidak terus mengepam, mengikut kajian terdapat banyak kes bekalan susu akan berkurangan selepas bulan puasa.

Satu lagi tips menarik yang dikongsikan yang pasti saya cuba ialah makan kurma secara maksimum untuk kekal bertenaga sepanjang hari. Bukan makan kurma sahaja tau tapi secara maksimum.

Apa yang cikgu susu ain lakukan adalah;
- Berbuka dengan 3 biji kurma.
- Setiap 1 jam makan kurma bersama air suam.
- Waktu moreh makan 3 biji kurma bersama air susu atau air suam.
- Setiap kali bayi bangun menyusu di malam hari, makan 1-2 biji kurma bersama air suam. Jadi pastikan bekalan kurma dan air suam sentiasa di sisi.
- Sahur, makan kurma milkshakes ( blend kurma dan susu).
- Boleh juga campurkan dengan mealshake Shaklee bagi peminat Shaklee (ini saya tambah)

Boleh layari blog cikgu ain www.cikgususu.com dan www.pumponthego.com untuk lebih perkongsian dari cikgu ain. Saya belum buka lagi. Ini apa yang diberitahu. Jangan lupa layari juga online shop saya www.nhdbabyshop.com.

Sesi perkongsian ini sekejap sahaja, ini sahaja yang sempat saya catit. Ada juga saya selitkan perkongsian dan pemahaman saya sedikit sebanyak. Ada juga saya rakam audio tapi belum sempat dengar semula. Semoga berguna untuk semua. Jangan lupa doa banyak-banyak pada Allah SWT. In Shaa Allah semuanya akan baik-baik sahaja. Amin.

Semoga berjaya!

No comments:

Post a Comment