Tuesday, December 30, 2014

Mendidik Anak Melalui Akhlak Kita

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Anak cerminan diri kita.

Di mana tumpahnya kuah jika tak ke nasi.

Like mother, Like dotter.

Like father, like son.

Semua peribahasa atau pernyataan di atas adalah benar belaka.

Hari ini saya begitu kagum mengingatkan kakak dan anak saudara masing-masing dari Hospital Serdang dan Klang, Selangor berpeluang untuk pulang ke kampung halaman membantu mangsa banjir. Anak saudara sudah beberapa hari tidak cukup tidur, tidak cukup makan bertungkus lumus membuka kaunter derma dari orang ramai, membawa ke pengkalan tentera udara, menghantar sebahagian  barang sendiri ke termerloh dan kelantan kepada mangsa banjir.

Tidak cukup lagi, hari ini beliau dan kawan-kawan sekali lagi membawa bantuan melalui kapal terbang terus ke Kota Bharu, menyewa lori dan cuba untuk menghantar sendiri kepada mangsa banjir setelah kali pertama hanya sampai ke Gua Musang dan Kuala Krai.

Kakak yang telah berkeluarga meninggalkan suami dan empat orang anak berumur antara lapan sehingga lima belas tahun. Membantu dari sudut perubatan di HUSM, Kubang Kerian dan Hospital Kuala Krai selama dua minggu.

Teringin sekali untuk turut sama tetapi anak-anak masih kecil dan masih menyusu badan keduanya. Sekiranya masih bujang atau anak sudah tidak menyusu badan, saya mungkin tidak begitu ralat untuk meninggalkan mereka dan turut sama mencari peluang untuk pulang membantu.

Ibu Wirawati Kami

Pada mulanya saya ingatkan hanya mereka  berdua yang turun membantu tetapi setelah menghubungi ibu di kampung barulah saya tahu bahawa ibu juga turut mengambil bahagian.

Di usia 60tahun, beliau merupakan antara yang mengalami sendiri bagaimana air hampir sampai ke rumah,  hidup tanpa bekalan elektrik selama beberapa hari dan hidup dalam kerisauan bimbang rumah tenggelam kerana empangan pecah atau melepaskan air. Tetapi disebalik semua kesusahan itu, beliau masih positif. Ketika saya menelefon, beliau sedang gigih mengumpulkan pakaian yang masih elok untuk didermakan kepada mangsa banjir.

Memandangkan rumah kami menggunakan telaga sebagai bekalan air bersih yang di alirkan ke paip menggunakan pam air berkuasa elektrik. Ibu juga terpaksa mengambil air menggunakan timba dari telaga sebagai bekalan air bersih. Saya dapat membayangkan bagaimana susahnya beliau hidup beberapa hari di masa-masa ketiadaan bekalan elektrik.

Dari sudut positif beliau memikirkan keadaan beliau jauh lebih baik dan bernasib baik kerana mempunyai bekalan air bersih. Hidup seorang diri juga menjadikan bekalan makanan masih mampu bertahan kerana yang makannya cuma seorang.

Mengambil Pengajaran Dari Ibu

Saya suka melihat sekeliling, bukan untuk menilai, bukan untuk mengata tetapi lebih kepada sebagai panduan diri sendiri.

Yang buruk saya jadikan sempadan, yang baik saya jadikan tauladan.

Sejak dari kecil saya memang kagum dan bangga dengan ibu dan arwah ayah saya sendiri. Mereka insan terbaik bagi saya.

Selama nenek masih hidup, saya lihat ibu menjaga ibunya iaitu nenek saya dengan sungguh baik walau banyak rintangan yang beliau terpaksa tempuhi.

Di sebalik terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki membesarkan lapan orang anak dan dua orang cucu sendirian selepas kematian suami semenjak tahun 2002, beliau masih mampu memberi separuh dari hasil menoreh getah untuk arwah nenek. Beliau menjaga arwah nenek sehingga nenek meninggal kerana sakit tua pada tahun 2012. Hebat bukan?

Pesan Dengan Cerita

Arwah ayah dan ibu juga seringkali berpesan jangan ambil hak orang. Walaupun terjumpa duit sepuluh sen pun jangan ambil. Kalau tak jumpa tuannya, ambil masuk dalam tabung surau atau derma tak apa.

Kata ibu, kita mungkin ambil duit orang sepuluh sen sahaja tetapi nanti lebih banyak Allah SWT akan tarik rezeki hak kita kerana ketidak jujuran kita.

Beliau selalu memberi contoh yang mendidik kami dengan cara bercerita dan bukan membebel tak tentu hala. Dalam contoh ini dia menceritakan bagaimana seorang jiran yang kami kenal terjumpa wang bernilai RM50 dan dia simpan duit tu dalam kotak rokok bersama duit-duitnya yang lain bernilai ratusan ringgit.

Tapi selepas merokok tak tahu macam mana dia secara tak sengaja telah membuang kotak rokok yang mengandungi semua duit tersebut. Rugi kan? Semuanya kehendak Allah SWT. Mungkin sebagai satu pengajaran kepada beliau supaya tidak melakukan perkara yang sama di kemudian hari.

Akhlak Yang Baik

Dari apa yang saya dapat perhatikan, majoriti adik beradik dan anak-anak saudara secara tidak langsung mengikut akhlak ibu dan arwah ayah.

Suka membantu orang di saat kesusahan, selalu melawat pusara arwah ayah sekiranya pulang ke kampung atau setiap hari Jumaat.

Saya sendiri jadi orang yang terlalu obses dengan kebajikan ibu. Sebolehnya, setiap hari saya akan hubungi ibu di kampung bertanya khabar. Berusaha memenuhi kehendak ibu walaupun beliau tidak pernah meminta.

Kebiasaannya apabila ibu inginkan sesuatu beliau memang sudah bersedia dengan duit, tidak pernah meminta sesen pun duit dari anak. Beliau mahu anak menghantar wang ke kampung dengan kerelaan sendiri dan menanggapnya sebagai tanda ingatan.

Dalam membesarkan anak, saya sendiri bimbang kalau ada perilaku saya dan suami ada yang kurang elok untuk anak ikut. Otak anak ibarat span walaupun masih belum pandai bercakap, tetapi mereka merekod dengan melihat dan mendengar. Apabila sudah pandai, memang tiap-tiap hari ada sahaja kejutan. Seperti keadaan yang saya sedang lalui sekarang dengan Damia.

Oleh itu, marilah sama-sama kita jaga akhlak dan peribadi bagi menjaga kelangsungan anak-anak yang berakhlak baik. In Shaa Allah. 

Sediakan Alat Bantu Mengajar Ikut Perkembangan Anak

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed

Sebagai ibubapa kita mestilah mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Saya sendiri suka membelikan mainan dan buku-buku untuk anak, tetapi lebih memilih permainan berbentuk pembelajaran atau lebih dikenali dalam bahasa inggeris sebagai "Learning Toys". Ada yang mungkin berpendapat semua ini membazir tetapi bagi saya, ianya lebih kepada alat bantu mengajar. 

Memandangkan saya dan suami agak sibuk (saya memulakan perniagaan online semenjak Damia berusia 3bulan), kami biarkan Damia meneroka alam kanak-kanaknya dengan segala mainan dan buku-buku yang ada. Ada ketikanya kami sebagai ibubapa akan peruntukkan masa untuk turut serta bermain dan membaca bersama dan ternyata anak-anak sungguh gembira.

Kebiasaannya banyak mainan yang akan dibelikan untuk anak pertama kerana teruja baru memiliki anak dan bimbang anak bosan kerana tiada kawan bermain. Tetapi bagi anak kedua dan sebagainya, saya lebih selektif membeli mengikut minat anak. 

Sebagai ibubapa, kita mesti dapat menilai minat dan kecenderungan anak. Contohnya damia, minatnya sering berubah-ubah mengikut masa tetapi tidak lari dari kucing, bola, buku dan pen. 

Memegang pen dan buku ibarat terapi buat Damia. Dari menangis terus tersenyum apabila melihat bola dan kucing. Menarik bukan? Tetapi dia juga ada minat lain selari dengan perkembangannya, iaitu menyusun barang dan memasukkan barang. 

Kalau ingin membeli mainan, saya mencadangkan ibubapa membeli mengikut minat anak. Anak-anak akan lebih seronok. Sama seperti kita orang dewasa, tentu lebih bertahan dan gembira melakukan sesuatu mengikut minat bukan? Begitulah anak kita. Apa aktiviti yang beliau suka lakukan di rumah?  Itulah permainan yang kita harus cari. Yang berkaitan aktiviti yang anak suka. 

Contoh pengalaman kami pada kali ini ialah Damia suka menyusun tin-tin susu dan sos yang saya buat stok untuk memasak setiap kali terlepas ke dapur. Kadang-kadang sampai terjatuh atas kaki dan mengadu "akit-akit" yang membawa maksud "sakit-sakit". Sekali melihat rasa kelakar dengan kaletah anak, tetapi bila difikirkan, kesian anak. 

Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk membelikan "Building Block" untuk Damia. Mulanya agak berkira-kira untuk membeli kerana banyak wang yang telah digunakan untuk perniagaan dan keperluan pada bulan ini tetapi memikirkan anak, akhirnya kami beli juga di NHDBABY SHOP. 

Di NHDBABY SHOP kami ada beberapa jenis building block yang boleh dipilih. 


33PCS Wooden Block Transport

60PCS Wooden Blocks Number


 29PCS My block IQRA

50PCS Digital City Building Blocks
52PCS Wodden Blocks Candy

Building block untuk Damia ni, Building Block Candy. Hadiah harijadi awal dari ayah. Sungguh cantik bukan?

Dalam satu kotak ada 52unit. Cukup untuk membina kreativiti anak. Antara kelebihan bermain "building block" adalah:
1) Melatih koordinasi tangan dan mata.
2) Warna-warna menarik dan cerah merangsang deria penglihatan anak.
3) Sentuhan pelbagai bongkah kayu ini juga boleh merangsang deria sentuhan anak.
5) Melatih anak mengenal bentuk-bentuk yang berbeza seperti silinder, tangga, empat segi tepat, bulat, separa bulat, dan banyak lagi.



Thursday, December 25, 2014

Membuka Syarikat Baru

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed

Sebagai persediaan untuk mengejar impian sebagai penulis, saya nekad mengambil keputusan untuk membuka sebuah lagi syarikat baru yang menggunakan nama saya sendiri, NURUL DIYANA BINTI MOHAMED.

Syarikat ini adalah syarikat kedua saya selepas NHDBABY SHOP.

Menurut nasihat daripada mentor ABDR, Kak Masayu Ahmad. Saya perlu melakukan penjenamaan semula menggunakan nama saya sendiri. Jadi mengikut pertimbangan saya, membuka syarikat baru menggunakan nama sendiri adalah pilihan paling tepat.

Syarikat milikan tunggal ini akan saya gunakan bagi tujuan menulis blog panduan pendidikan awal kanak-kanak, menjual alat bantu mengajar dan produk keperluan bayi, kanak-kanak dan dewasa.

Perancangan Perniagaan

Perancangan saya, blog www.nuruldiyanamohd.blogspot.com akan saya gunakan untuk menulis panduan pendidikan awal kanak-kanak di samping menjual alat bantu mengajar, manakala blog www.nhdbabyshop.blogspot.com akan saya jadikan kedai maya bagi menjual produk keperluan bayi, kanak-kanak dan dewasa.

Harus Daftar Perniagaan

Mungkin ramai yang masih belum mengetahui bahawa setiap perniagaan harus didaftarkan. Tidak kiralah perniagaan itu dijalankan secara atas talian ataupun mempunyai kedai fizikal.

Saya sendiri bimbang sekiranya terlupa membuat pembaharuan syarikat pertama saya NHDBABY SHOP. Walaupun kedai maya ini hanyalah kedai kecil yang dijalankan secara atas talian, berniaga kecil-kecilan di blog, website dan facebook sambil berperang dengan anak, tetapi saya tetap mementingkan aturan hidup mengikut perundangan yang betul di Malaysia bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari dan demi keselesaan sendiri. Bila sudah berdaftar, saya sudah tiada alasan untuk berasa bimbang disaman, didenda dan sebagainya.

Harga Lesen Perniagaan

Pendaftaran lesen perniagaan menggunakan nama sendiri pun tidaklah terlalu mahal, hanya bernilai RM30 untuk setahun dan RM10 untuk cetakan dokumen. Kali ini saya memanjangkan pendaftaran perniagaan saya sehingga dua tahun, jadi modal yang diperlukan hanya sebanyak RM70. Mampu bayar bukan?

Tapi sekiranya anda ingin menggunakan nama rekaan sendiri seperti NHDBABY SHOP, bayaran lain dikenakan. RM60 untuk tempoh setahun dan cetakan dokumen RM10. Jadi, jumlahnya RM70 untuk tempoh setahun sekali pendaftaran. Lanjutan pendaftaran boleh dilakukan sehingga 5 tahun dan anda dapat menjimatkan masa dan kos cetakan dokumen. Lain pula harganya sekiranya anda menggunakan nama akhir seperti Enterprise, Sdn. Bhd. dan sebagainya.

Pendaftaran juga hanya memerlukan salinan IC dan borang boleh di ambil di kaunter. Jika ingin menjimatkan masa, anda mungkin boleh memilih untuk mengisi borang pendaftaran dari rumah terlebih dahulu.

Pengalaman Saya

Pendaftaran juga boleh dilakukan secara atas talian di website Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Tetapi kerana banyak perkara yang bersangkut paut dengan NHDBABY SHOP yang memerlukan penjelasan, jadi saya memilih untuk pergi terus ke pejabat SSM Seremban.

Tempoh perkhidmatan yang dijanjikan untuk setiap pendaftaran perniagaan di SSM Seremban adalah selama 1 jam tetapi realitinya bergantung kepada betapa sibuknya pejabat SSM pada ketika itu. Dan pengalaman kedua mendaftarkan syarikat semalam, tempohnya adalah hampir 2jam.

Pengalaman pertama menguruskan pendaftaran syarikat dengan anak, 2jam adalah tempoh yang sangat lama. Anak sempat berlari ke sana, kesini sampai lebam di mata terhantuk meja. Ummi hampir hilang sabar melayan keletah Damia yang aktif, sehingga perlu sentiasa meningatkan diri supaya kekal positif.

Pentingnya Pengendong Bayi

Pada mulanya ummi cuma naik ke pejabat pendaftaran SSM di tingkat 3 dengan Damia dan Ayah bersama Ammar tunggu di kereta, tetapi kemudiannya Ayah dan Ammar juga naik ke atas. 

Tambah menguji kesabaran ummi bila Ayah meninggalkan  Ammar dan Damia untuk bersolat tanpa membawa pengendong bayi. Terpaksalah mengejar Damia sambil mendukung ammar dengan tangan kosong. Yang mana antara pengalaman yang tak mahu ummi alami.

Pengendong bayi atau lebih sedap dipanggil "Baby Carrier" ini sudah menjadi kegemaran ummi sejak selepas berpantangkan Ammar. Kerana Ammar adalah seorang bayi yang badannya agak semangat berbanding bayi-bayi yang seusia. Dilahirkan pada berat hanya 2.85kg tetapi membesar bagai juara sehingga mencapai berat 6.1kg pada usia 3bulan. Dan kini beliau telah berusia hampir 4bulan. Pengendong bayi telah menjadi barang keperluan ummi.

Ini juga adalah antara sebab ummi terjebak dan menjadi seorang "Babywearers" di Malaysia. Lebih mudah juga menjaga anak-anak bila menggunakan pengendong bayi. Kedai Maya NHDBABY SHOP juga telah bertindak membantu ibubapa mendapatkan pengendong bayi yang diiktiraf selamat dengan membuat projek kutu bulanan untuk "Soft Structured Carrier (SSC)" jenama Pognae yang sedang hangat di pasaran Malaysia. Boleh hubungi facebook Nhdbaby Diyana untuk maklumat lanjut atau Whatsapp ke 013-9747810.

Selain berguna sebagai alat bantuan dalam mengedong atau mendukung anak dan mengelakkan sakit badan, pengendong bayi ini juga penting dalam memastikan anak terdidik secara optimum. Penggunaan pengendong bayi yang betul boleh membantu anak melihat di paras penglihatan ibubapa seterusnya membantu dalam perkembangan awal anak tetapi anak masih berasa selamat kerana boleh berpaling kepada ibu bapa apabila berasa takut. 

Doakan Saya

Semoga segala usaha yang dibuat ini diberkati. In Shaa Allah. Mohon pembaca doakan saya berjaya menjadi penulis dan peniaga yang berjaya. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan.

Robbi Yassir Wala Tuassir.

Ayah Ajar Anak Bahasa Arab

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Foto: Pembekal

Saya yakin, saya harus simpan detik dan ketika ini.

Sedang saya sibuk di dapur seorang diri tiba-tiba terdengar ayah mengajar anak bahasa arab menggunakan kamus yang saya belikan untuk Damia.

Teruja dan gembira mendengar anak dan suami belajar bersama.

Kamus Bergambar 3 bahasa Sayangku Cepat Pandai Perkataan Pertama ini memang berwarna-warni dan tebal. Tidak perlu bimbang anak akan koyakkan.

Tiga bahasa yang digunakan dalam kamus ini ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Arab. Bahasa arab yang digunakan ditulis dalam bahasa arab dan juga rumi.

Kebetulannya semasa membuat tempahan daripada pembekal ummi merasakan buku kamus ini sangat bagus untuk damia. Jadi ummi beli. Alhamdulillah ayah tertarik untuk mengajar anak membaca.

Inilah untungnya jika alat bantu mengajar telah disediakan, cuma tinggal guna sahaja.

Sekarang, bukan saya sahaja yang ambil kisah dalam pendidikan awal anak-anak. Tapi suami juga. Kebiasaanya perlu ummi tegur dahulu baru buat. Bila dilaksanakan dengan rela hati, In Shaa Allah usaha lagi berkat. Anak lagi faham.

Sejuk hati saya. 

Tuesday, December 23, 2014

Menggunakan Blackboard Sticker

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed

Harini rasa bahagia sangat, salah satu sebabnya adalah kerana Black Board Sticker.
 
Semalam sampai tempahan dari supplier Black Board Sticker ni. Tapi malam baru dapat pasang sebab kelam kabut uruskan perniagaan perkongsian NHDBABYSHOP dan Little Caliphee. Sebelum itu barangnya terbiar sahaja di atas meja makan. Kebetulan dalam masa yang sama keluarga mertua nak datang, jadi bertambah-tambah kesibukannya. 

Tapi sebelum keluarga mertua datang memang dah janji pada diri nak pasangkan whiteboard sticker atau black board sticker. Supaya Damia boleh bermain lukis-lukis dengan Datuk, Nenek dan 4 orang ibu saudaranya iaitu adik-adik ipar saya. Bukannya selalu mereka datang ke sini, cuma kebetulan bila ada urusan sahaja. Kali ini sebab bawa adik-adik yang sedang cuti sekolah bercuti ke Port Dickson dan jalan-jalan ke ICity.

Dah tahu ukuran white board dan black board sticker tu 45cm x 200cm tapi saya malas nak ambil perhatian sangat. Dalam nak cepat pasang, saya ambil je black board sticker sebab malas fikir panjang. Penilaian pertama saya terhadap black board sticker "panjangnya..".

Baru ingat tak perlu potong tapi wajib juga potong. Tapi tak apalah, dalam fikiran saya boleh guna kat tempat lain pula.

Pada mulanya saya juga beranggapan black board sticker ini tidaklah sehebat black board biasa tapi hasilnya adalah lebih dari jangkaan saya. Mungkin tidak terlalu bagus tapi sudah cukup bagus untuk saya dan anak-anak. Dinding rata kuarters kami jadi papan dengan kemasan yang cukup sempurna. Seolah-olah ia memang sebuah papan hitam.

Masalah terbesar saya dalam mendidik damia ialah dalam penggunaan pen. Damia sangat suka dengan pen, sana-sini buku saya kena conteng. Kalau saya tidak melarang tentulah sayang apabila habis buku-buku yang saya suka jadi comot. Tapi bila melarang bimbang pula menganggu latihan awal anak. Jadi, demi perkembangan anak saya terpaksa pejamkan mata dan bersabar. 

Tapi semenjak ada papan hitam ini, yang di tangan cuma kapur sahaja. Jadi, selamatlah buku-buku saya. Oleh kerana ummi suka sangat buku tetapi terpaksa berfikir nak beli buku baru sebab takut kena conteng, masalah itu dah selesai hari ini. Gembira tak terkata. Dan harini ummi siap beli dua biji buku semasa pergi makan di jusco tadi, bertajuk "Babywearing Made Simple" tulisan Adriana Thani dan "Celik Mata & Jiwa" dari Dr. Muhaya. Dah boleh dah buka semula pustaka kecil ummi. 

Monday, December 22, 2014

Main Conteng-Conteng

Anakanda Damia menulis.

Bukan ummi sahaja yang minat menulis tapi anakanda damia juga.

Daripada dia buat grafitti pada dinding, saya pasangkan dia Blackboard Sticker pada dinding.
Seronok betul dia menulis.

Ini adalah salah satu cara memupuk minat menulis anak tau.

Kuranglah perkataan "jangan" yang ummi guna.

Yang ummi guna sekarang "pandai damia" sambil tepuk tangan.

Kan ummi minat positive parenting. ;)

Sticker available di NHDBABYSHOP.

Sunday, December 21, 2014

Didik Anak Minat Membaca Al-Quran

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed

Sebagai seorang muslim, tidak dapat tidak setiap daripada kita tentu mengimpikan anak yang soleh solehah penyejuk mata ibu dan ayah.Saya dan suami pun sama juga.

Salah satu tips untuk didik anak minat mambaca Al-Quran ialah dedahkan anak dengan A-Quran itu sendiri. Sediakan Al-Quran di rumah dan baca. Supaya anak boleh melihat dan jatuh minat. 

Disebalik kesibukan saya dan suami, kami berusaha menyediakan alat bantuan mengajar untuk anak-anak kami.

Sama seperti makanan, kanak-kanak suka sekali apabila melihat buku-buku yang penuh dengan warna-warni. Jadi, kami mengambil inisiatif untuk menyediakan Muqaddam Bergambar untuk Damia yang berusia 1tahun 10bulan genap pada 19 Disember 2014.

Muqaddam Bergambar ini telah saya belikan untuk Damia semenjak beliau kecil lagi tapi saya jaga dan berikan mengikut kesesuaian keadaan dan tidak membenarkan Damia bermain-main sesuka hati dengan Muqaddam ini. Ini adalah salah satu cara bagi mendidik Damia menghormati Al-Quran.

Kebiasaanya, apabila saya atau suami selesai bersolat dan ingin mengaji, ketika itulah saya berikan Muqaddam Bergambar ini kepada dia.

Walaupun Damia masih kecil dan hanya kenal beberapa huruf hijahiyah. Tetapi Damia sangat suka membelek-belek Muqaddam Bergambar di samping membuat perbuatan seolah-olah ikut mengaji dengan penuh semangat.

Sekiranya anda berminat dengan produk ini boleh tempah sekarang melalui aplikasi whatsapp ke 013-9747810 atau hubungi facebook Nhdbaby Diyana.

Saturday, December 20, 2014

Didik Anak Cara Positif

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Kalau nak larang anak buat sesuatu kita selalu gunakan perkataan "jangan".

Contohnya nak larang anak masuk tangan dalam mulut;

Apa kata daripada kita cakap "jangan masuk tangan dalam mulut", kita terbalikkan jadi positif "Kan bagus kalau (sayang atau "nama anak") letak tangan dekat luar mulut".

Disertakan dengan perbuatan senyum.

Atau siapa ada idea lagi baik? Boleh kongsi dengan saya?

Friday, December 19, 2014

Pemudahcara Didik Anak

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed


Sebatang pen yang mempunyai banyak cerita.

Pen ini saya miliki ketika masih lagi bergelar seorang Jurutera Projek di sebuah syarikat swasta terkemuka.

Oleh kerana pen saya selalu hilang, jadi saya terpaksa melabelkan pen ini dengan nama saya. Tertulis nama dan jawatan pada pen "NURULDIYANABINTI MOHAMEDPROJECTENG(ELEC)".

Mungkin ada yang merasakan ini agak menggelikan hati atau mungkin ada yang akan berpendapat saya sedikit kedekut tetapi hakikatnya anda tentu tidak tahu berapa banyak pen saya yang telah hilang.

Dan yang menariknya, selepas saya melabelkan pen tersebut, pen itu masih kekal di tangan saya sehingga sekarang. Masih digunakan oleh saya dan anakanda Damia. Cuma tudung pen sahaja yang hilang dibuat puteri kesayangan.

Melalui pen ini saya tahu yang Damia sangat suka pen dan buku, pantang saya pegang pen dan buku, mesti berebut dengan dia.

Puteri kesayangan saya sangat suka pen dan buku yang kadang-kadang boleh jadi ubat apabila beliau menangis. Setiap kali Damia hendak menangis, pasti saya akan berikan pen. Selepas itu, mesti terus senyum. Tapi kena perhatikanlah, pen kan tajam. Kalau nampak berlari ke sana ke sini dengan pen dan agak bahaya pada hemat saya, saya akan ambil semula atau duduk kan Damia di meja belajar supaya dia boleh menulis dengan gembira dan selamat. Yang penting, harus beri perhatian dan pastikan keadaan selamat.  

Mencari barang kesukaan anak anda seperti buku, mainan ataupun penggendong bayi nyata boleh digunakan sebagai pemudah cara anda dalam mendidik anak-anak. Jika anak masih kecil, cuba elakkan benda tajam atau sekiranya terpaksa seperti saya, sentiasa pantau dari semasa ke semasa. 

Memiliki anak yang gembira dan ceria adalah impian setiap ibubapa seperti saya. Sebolehnya saya cuba elakkan daripada memarahi anak dan bersikap positif. 

Saya yakin anak-anak yang ceria mampu mengoptimumkan kesan pembelajaran berbanding anak-anak yang sering "tantrum" ataupun bersedih.

Malah Rasulullah SAW  sendiri pernah mengajar kita melalui sunnah beliau. Pada peringkat pertama 1-7tahun Rasulullah SAW mengajar kita supaya memanjakan, mengasihi dan mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Mengikut banyak kajian yang dibuat juga, anak yang selalu dimarahi, ditengking apatah lagi diherdik boleh menyebabkan kurang keyakinan pada diri.

Kesimpulannya, anak-anak kecil haruslah dididik dengan penuh kasih sayang dan berhemah. Jika perlu, cari minat anak dan gunakan sebagai pemudah cara dalam mendidik anak-anak. Anak yang ceria, berpotensi menjadi anak yang bijak seterusnya berakhlak mulia, In Shaa Allah. 



Tuesday, December 16, 2014

Menceburkan Diri Dalam Bidang Perniagaan

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Pengalaman perniagaan pertama saya sebenarnya adalah semasa membantu ibu menjual hasil tanaman dari rumah ke rumah ketika masih bersekolah.

Pengalaman kedua saya pula adalah setelah tamat belajar, saya membantu kakak menguruskan kedai menjual barangan ibadah di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada Oktober 2010 sebelum mula menyertai Program Latihan Lepasan Ijazah (GP200) yang ditaja oleh Bank Negara Malaysia pada Mac 2011.

Dari situ saya memahami selok belok dunia perniagaan dan urusan borong memborong dengan pembekal kerana sering mengikut kakak dan abang ipar melakukan urusan tersebut.

Setelah tiga bulan melahirkan anak pertama, pada Mei 2013 saya mula mengorak langkah dalam dunia perniagaan online dari rumah. Membuka dan mendaftarkan sebuah syarikat sendiri dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diberi nama NHDBABYSHOP.

Sejujurnya mendaftarkan Syarikat NHDBABYSHOP adalah satu tindakan yang nekad setelah berbincang dan bermusyawarah dengan suami. Walaupun mempunyai pengalaman dalam perniagaan tetapi saya sebenarnya tidaklah begitu minat untuk berniaga, mungkin juga kerana tiada bakat. Saya nekad memulakan perniagaan bagi membantu ibu di kampung dan sebagai memenuhi kehendak peribadi yang suka bekerja, selain membantu suami dan berbelanja.

Tetapi sikap saya yang suka melakukan yang terbaik dalam setiap perkara menjadikan saya boleh melakukan apa sahaja. 

Walaupun merasakan ada yang kurang, saya tetap berjuang meneruskan perniagaan yang ada selama lebih daripada setahun setengah, yang bermodalkan wang sebanyak RM5000 dari simpanan saya sendiri. Itulah antara sebab kenapa saya sangat sayangkan perniagaan ini dan masih meneruskannya sehingga sekarang. 

Pada pendapat saya, memang sudah lumrah manusia lebih menyayangi sesuatu perkara atau barangan yang terhasil daripada titik peluh sendiri berbanding didapatkan dalam bentuk hadiah atau secara pinjaman apatah lagi kalau mendapatkannya secara percuma. Kalau terasa hendak berhenti atau putus asa mesti jauh saya berfikir kerana sayangkan modal yang telah dilaburkan.

Perniagaan saya pada ketika itu hanyalah berpandukan pengalaman menguruskan perniagaan kakak sebelumnya, pembacaan, sedikit panduan daripada rakan-rakan dan cuba jaya tanpa sebarang pendidikan formal. 

Kenapa Online?

Mesti ramai yang ingin tahu kenapa saya menjalankan perniagaan online dan tidak memiliki kedai? Para pelanggan juga selalu bertanya dan ingin ke kedai saya. 

Tetapi pengalaman menguruskan kedai fizikal kakak saya membantu saya membuat keputusan. Selain komitmen yang lebih tinggi dalam menjaga kedai fizikal berbanding kedai online, Saya juga pernah merasai kesusahan menjaga saudara saya yang masih kecil bernama Qalisah sambil bekerja. Ketika itu kakak saya kerap mempunyai urusan atau perkara yang ingin diuruskan di luar. Jadi sudah tentulah mempunyai kedai fizikal bersama anak bukan pilihan saya. 

Saya lebih senang dan bebas beniaga secara online di rumah sambil melayan karenah anak-anak di rumah yang bermacam ragam. Walaupun itu bermaksud kerja saya makin bertambah sibuk kerana menerima banyak pertanyaan dari setiap pelusuk negara, itupun belum tentu rezeki saya. Selain terpaksa berjaga malam memuatnaik gambar dan senarai barangan kerana bimbang diganggu anak semasa di siang hari. 

Kebiasaannya di siang hari saya hanya menguruskan perniagaan dan membuat iklan melaui telefon pintar sahaja. 

Selain itu, kedai online juga menjadi pilihan kerana lebih menjimatkan kos pengurusan kerana saya tidak perlu memikirkan bayaran sewa pada setiap bulan. 

Dalam menguruskan perniagaan, saya banyak bertenang dan bersabar di samping mendidik hati bahawa rezeki saya di tangan Allah S.W.T, sekiranya sudah rezeki saya, sudah tentulah tetap rezeki saya. Sekiranya bukan, saya berusaha sebanyak manapun masih belum tentu akan menjadi milik saya. 

Kebiasaanya bagi pelanggan yang tinggal berdekatan sama ada kawan suami atau kawan-kawan saya sendiri, saya akan membenarkan mereka datang ke rumah untuk memilih barangan yang dikehendaki. Saya juga menyediakan khidmat Cash On Delivery (COD) bagi yang berminat terutamanya di sekitar Nilai, Sepang, Putrajaya, Seremban ataupun Bandar Enstek sendiri. Selebihnya adalah melalui pengeposan mengunakan khidmat poslaju untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Menjadi Pengedar Shaklee

Mula bershaklee pada penghujung Julai 2013 dengan memegang posisi pengedar dengan nombor keahlian 971834, tetapi lebih kepada perkongsian kebaikan produk yang masih saya minati sehingga sekarang. 

Pernah mengalami masalah kesihatan seperti keguguran rambut yang teruk selepas bersalin, tahap kesihatan yang kurang baik ketika hamil tetapi Alhamdulillah berjaya dikawal dengan bantuan produk kesihatan shaklee dan sudah tentulah ketentuan dari Allah S.W.T yang paling utama.

Selain itu, produk organik shaklee juga menjadi pilihan dalam penjagaan rumah tanpa keraguan kerana Shaklee mempunyai banyak ujikaji makmal dan telah diiktiraf di serata dunia. 

Hubungi Saya

Bagi membuat tempahan produk shaklee atau pelbagai barangan NHDBABYSHOP anda boleh menghubungi saya menerusi akaun facebook Nhdbaby Diyana atau Whatsapp ke 013-9747810. Tersedia sepanjang masa 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Tetapi fahami masa sibuk saya kerana saya juga adalah manusia biasa yang berurusan juga dengan manusia biasa. Kebiasaanya akan terus dijawab tidak sampai 24 jam.

Saturday, December 13, 2014

Pengenalan Dari Diyana

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Bismillahirrahmanirrahim..Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamua'alaikum w.b.t.

Salam perkenalan dari bumi Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Mungkin nama Bandar Enstek kali pertama anda dengar dari saya. Tapi kalau saya tanya lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Felda LB Johnson saya yakin ramai yang tahu. Kawasan bandar baru yang sedang pesat membangun.

Mula dibangunkan pada tahun 2002. Sempadan antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Menjadikannya lokasi strategik untuk apa sahaja.

Nama Bandar Enstek diambil sempena gabungan nama NSTC (Negeri Sembilan), dibangunkan dengan usahasama TH Properties dan Negeri Sembilan Development Corporation(PKNNS).

Nama Saya

Nama sebenar yang diberi oleh ibu ayah dan kakak-kakak saya adalah "Nurul Diyana" ejaan dan tulisannya begitu.

Mengikut cerita selama tiga hari tiga malam mencari nama untuk saya. Kesahihan cerita perlu di tanya kepada tuan empunya badan semuanya. Tapi itulah ayat yang mereka guna untuk menegur saya apabila terdengar kawan-kawan memanggil saya dengan pelbagai nama samaran.

Maksudnya "Cahaya Agama". Semoga peribadi saya seindah nama yang diberikan. In Shaa Allah.

Asal, Pendidikan, Minat dan Catatan Pengalaman

Anak kelahiran Ketereh, Kota Bharu Kelantan. Yang ketujuh daripada lapan beradik dan anak bongsu perempuan dalam keluarga. Mempunyai seorang adik lelaki. Berada di tengah-tengah antara dua anak lelaki dalam keluarga menjadikan saya seorang yang agak lasak. Walaupun mempunyai lima orang kakak, tetapi jarak umur yang jauh menyebabkan kami tidak dapat membesar bersama-sama.

Bersyukur dan merasa bertuah dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana kampung. Mendapat pendidikan awal dari rumah daripada ma dan arwah ayah. Arwah ayah juga adalah guru mengaji saya dan ramai lagi anak-anak kampung yang lain. 

Mula bersekolah pada umur 6 tahun di Tadika Sri Wangi, Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada Tahun 1992.

Menamatkan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ketereh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh masing-masing pada tahun 1998 dan 2003.

Menjadi antara peserta perintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2004. Satu program yang hebat dalam membentuk sahsiah diri. 

Berjaya menyambung pengajian di peringkat Diploma di Universiti Malaysia Pahang dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Elektronik Industri) pada tahun 2004 sehingga 2007. Dan kemudiannya menerima tawaran sekali lagi bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari tahun 2007 sehingga 2010. Di sinilah permulaan hidup berdikari saya jauh dari keluarga yang banyak memberikan saya pengalaman hidup yang sangat bermakna dalam mencorakkan siapa diri saya pada hari ini.

Semasa masih belajar, saya pernah menjalankan latihan industri sebagai Pelatih Juruteknik di sebuah syarikat swasta di Ampang pada tahun 2007 dan Pelatih Jurutera pada tahun 2010 di TNBD Kulaijaya. 

Pernah menyertai latihan Program Lepasan Ijazah tajaan Bank Negara Malaysia pada Mac hingga May 2011. Satu program yang sangat bagus dan antara kenangan manis dalam hidup saya kerana dapat bersua muka dan berkongsi pengalaman dengan ramai tokoh-tokoh hebat negara kita. Malah saya dan kawan-kawan pernah berborak sehingga lewat malam bersama Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel bin Tengku Ariff, bekas CEO Proton pada ketika itu. Seorang yang sangat baik, rendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kami. 

Memulakan kerjaya pertama sebagai Jurutera Elektrik dan Elektronik di sebuah syarikat terkemuka dengan bantuan Bank Negara Malaysia pada Jun 2011. Diberikan kepercayaan memegang amanah baru sebagai Jurutera Projek (Elektrik) November 2011 dan menguruskan semua projek baru syarikat di Klang dan Banting. Meminati dan bekerja dengan sepenuh hati sehingga mendapat banyak respon yang positif selama bekerja tetapi sayangnya terpaksa berhenti kerja dan berpindah ke Bandar Enstek mengikut suami selepas berkahwin pada March 2012. 

Ketika itu saya nekad berhenti kerja kerana tidak sanggup tinggal berasingan dengan suami dan bertekad untuk menjadi isteri yang baik selain mempunyai harapan yang besar ingin mengejar Syurga Allah S.W.T. bersama suami dan anak-anak.

Disebabkan saya seorang yang kuat bekerja, saya menjadi sangat bosan dan tidak betah berada di rumah. Saya kemudiannya  menerima tawaran bekerja sekali lagi sebagai Jurutera Projek di sebuah syarikat kontraktor di Lukut, Port Dickson. Saya sangat gembira dan merasakan seperti mempunyai nafas baru apabila dapat kembali bekerja. 

Di syarikat baru, saya dikehendaki menguruskan projek membuat pemasangan menara sistem penghantaran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memerlukan saya masuk keluar hutan bagi memantau projek selain terpaksa berulang alik dari Port Dickson-Perak-Bukit Mertajam. Tetapi saya tetap gembira walaupun penat. Saya kemudiannya disahkan hamil dan selepas berbincang dan bermusyawarah dengan suami, selain nasihat kawan-kawan yang bekerja dalam bidang perubatan. Sekali lagi saya terpaksa mengorbankan kerjaya saya demi suami dan anak dalam kandungan kerana suasana kerja yang tidak sesuai.

Pada mulanya saya takut dan bimbang untuk memberitahu keluarga, bimbang dimarahi tetapi rasa tidak selesa kerana kebiasaanya apa sahaja yang berlaku saya pasti memberitahu ibu saya. Beliau ibarat teman baik saya. Lagipun hanya beliau yang saya ada setelah arwah ayah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya ketika saya masih berumur 15 tahun.

Akhirnya saya memberitahu dan menjelaskan sebab-sebab kenapa keputusan berhenti kerja dibuat kepada ibu. Pada mulanya beliau sedikit ralat kerana bimbang akan masa depan saya tetapi beliau sedar itulah jalan terbaik pada masa itu dan terus menyokong setiap tindakan saya sehinggalah ke hari ini. Walaupun ada juga suara-suara sumbang, tetapi hanya redha ibu dan suami yang penting buat saya. Syukur pada Allah S.W.T. kerana Dia lah pengurnia segala. 

Saya melahirkan anak pertama, bayi perempuan secara pembedahan kecemasan pada 19 Februari 2013 walaupun bukaan sudah lapan sentimeter kerana dikatakan "fetal distress" tetapi Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Mungkin sudah tertulis bukan rezeki saya untuk melahirkan secara normal.

Syukur kepada Allah S.W.T. atas rezeki yang tidak di sangka-sangka, saya berjaya hamil dan melahirkan anak kedua, seorang lelaki secara normal pada 28 Ogos 2014. Kini kami sudah ada sepasang cahaya mata. 

Tetapi di sebalik hidup yang kelihatan lengkap segala, dirasakan masih ada yang kurang. Dipendekkan cerita, saya akhirnya menyedari bahawa saya mempunyai minat yang besar dalam dunia penulisan. Walaupun minat itu telah ada dalam diri semenjak masih kecil, hanya sekarang saya berani mengorak langkah memenuhi minat yang satu ini. 

Saya kemudiannya membuat keputusan dalam masa yang singkat bagi menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) bagi mendapatkan pendidikan dan sokongan dalam bidang penulisan dan perniagaan. ABDR adalah sebuah rangkaian sokongan bagi ibu-ibu yang bekerja atau ingin bekerja dari rumah. Setelah menyertai ABDR dan mempelajari asas penulisan, saya menjadi semakin yakin dan bersemangat untuk meneruskan minat menulis. 

Saya merupakan seorang ibu yang suka memberikan dan menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Dalam mendidik anak-anak, saya sentiasa mencari teknik-teknik terbaik yang sesuai digunakan di zaman yang serba canggih ini. Sangat meminati konsep "Positive Parenting" dan pendidikan anak-anak cara Islam. 

"Positive Parenting" adalah cara mengendali dan mendidik anak dengan kaedah percakapan atau perbuatan yang positif. Kita tidak boleh menegur, memarahi atau mengherdik anak-anak dengan perkataan negatif seperti "jangan", "tidak", "takut", "pemalas", "bodoh" dan sebagainya. Malah, Islam sendiri melarang kita menggunakan ayat-ayat yang tidak elok semasa bercakap dengan anak kerana bimbang akan menjadi doa. 

Atas nasihat dan panduan mentor saya yang juga pengasas ABDR, Puan Masayu Ahmad. Saya dengan rasminya membuka blog "Pendidikan Awal Kanak-Kanak" ini dengan harapan dapat berkongsi pengalaman yang sedia ada dan juga misi pencarian ilmu saya dengan anda semua. 

Saya percaya apabila kita mendidik anak-anak dengan baik sebenarnya secara tidak langsung kita juga akan merasa terdidik. Apabila saya berpesan kepada semua, saya juga akan merasa dipesan. jadi motto saya ialah " Mendidik untuk dididik, mengingatkan untuk beringat, Inni Akhafullah". 

Doakan semoga ibadah ini diterima oleh Allah S.W.T dan bermanafaat untuk semua pembaca. Semoga kita semua berjaya mendidik diri dan anak-anak menjadi insan yang soleh dan solehah di dunia dan di akhirat. Aamiin..