Teks: Nurul Diyana Mohamed
Anak cerminan diri kita.
Di mana tumpahnya kuah jika tak ke nasi.
Like mother, Like dotter.
Like father, like son.
Semua peribahasa atau pernyataan di atas adalah benar belaka.
Hari ini saya begitu kagum mengingatkan kakak dan anak saudara masing-masing dari Hospital Serdang dan Klang, Selangor berpeluang untuk pulang ke kampung halaman membantu mangsa banjir. Anak saudara sudah beberapa hari tidak cukup tidur, tidak cukup makan bertungkus lumus membuka kaunter derma dari orang ramai, membawa ke pengkalan tentera udara, menghantar sebahagian barang sendiri ke termerloh dan kelantan kepada mangsa banjir.
Tidak cukup lagi, hari ini beliau dan kawan-kawan sekali lagi membawa bantuan melalui kapal terbang terus ke Kota Bharu, menyewa lori dan cuba untuk menghantar sendiri kepada mangsa banjir setelah kali pertama hanya sampai ke Gua Musang dan Kuala Krai.
Kakak yang telah berkeluarga meninggalkan suami dan empat orang anak berumur antara lapan sehingga lima belas tahun. Membantu dari sudut perubatan di HUSM, Kubang Kerian dan Hospital Kuala Krai selama dua minggu.
Teringin sekali untuk turut sama tetapi anak-anak masih kecil dan masih menyusu badan keduanya. Sekiranya masih bujang atau anak sudah tidak menyusu badan, saya mungkin tidak begitu ralat untuk meninggalkan mereka dan turut sama mencari peluang untuk pulang membantu.
Ibu Wirawati Kami
Pada mulanya saya ingatkan hanya mereka berdua yang turun membantu tetapi setelah menghubungi ibu di kampung barulah saya tahu bahawa ibu juga turut mengambil bahagian.
Di usia 60tahun, beliau merupakan antara yang mengalami sendiri bagaimana air hampir sampai ke rumah, hidup tanpa bekalan elektrik selama beberapa hari dan hidup dalam kerisauan bimbang rumah tenggelam kerana empangan pecah atau melepaskan air. Tetapi disebalik semua kesusahan itu, beliau masih positif. Ketika saya menelefon, beliau sedang gigih mengumpulkan pakaian yang masih elok untuk didermakan kepada mangsa banjir.
Memandangkan rumah kami menggunakan telaga sebagai bekalan air bersih yang di alirkan ke paip menggunakan pam air berkuasa elektrik. Ibu juga terpaksa mengambil air menggunakan timba dari telaga sebagai bekalan air bersih. Saya dapat membayangkan bagaimana susahnya beliau hidup beberapa hari di masa-masa ketiadaan bekalan elektrik.
Dari sudut positif beliau memikirkan keadaan beliau jauh lebih baik dan bernasib baik kerana mempunyai bekalan air bersih. Hidup seorang diri juga menjadikan bekalan makanan masih mampu bertahan kerana yang makannya cuma seorang.
Mengambil Pengajaran Dari Ibu
Saya suka melihat sekeliling, bukan untuk menilai, bukan untuk mengata tetapi lebih kepada sebagai panduan diri sendiri.
Yang buruk saya jadikan sempadan, yang baik saya jadikan tauladan.
Sejak dari kecil saya memang kagum dan bangga dengan ibu dan arwah ayah saya sendiri. Mereka insan terbaik bagi saya.
Selama nenek masih hidup, saya lihat ibu menjaga ibunya iaitu nenek saya dengan sungguh baik walau banyak rintangan yang beliau terpaksa tempuhi.
Di sebalik terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki membesarkan lapan orang anak dan dua orang cucu sendirian selepas kematian suami semenjak tahun 2002, beliau masih mampu memberi separuh dari hasil menoreh getah untuk arwah nenek. Beliau menjaga arwah nenek sehingga nenek meninggal kerana sakit tua pada tahun 2012. Hebat bukan?
Pesan Dengan Cerita
Arwah ayah dan ibu juga seringkali berpesan jangan ambil hak orang. Walaupun terjumpa duit sepuluh sen pun jangan ambil. Kalau tak jumpa tuannya, ambil masuk dalam tabung surau atau derma tak apa.
Kata ibu, kita mungkin ambil duit orang sepuluh sen sahaja tetapi nanti lebih banyak Allah SWT akan tarik rezeki hak kita kerana ketidak jujuran kita.
Beliau selalu memberi contoh yang mendidik kami dengan cara bercerita dan bukan membebel tak tentu hala. Dalam contoh ini dia menceritakan bagaimana seorang jiran yang kami kenal terjumpa wang bernilai RM50 dan dia simpan duit tu dalam kotak rokok bersama duit-duitnya yang lain bernilai ratusan ringgit.
Tapi selepas merokok tak tahu macam mana dia secara tak sengaja telah membuang kotak rokok yang mengandungi semua duit tersebut. Rugi kan? Semuanya kehendak Allah SWT. Mungkin sebagai satu pengajaran kepada beliau supaya tidak melakukan perkara yang sama di kemudian hari.
Akhlak Yang Baik
Dari apa yang saya dapat perhatikan, majoriti adik beradik dan anak-anak saudara secara tidak langsung mengikut akhlak ibu dan arwah ayah.
Suka membantu orang di saat kesusahan, selalu melawat pusara arwah ayah sekiranya pulang ke kampung atau setiap hari Jumaat.
Saya sendiri jadi orang yang terlalu obses dengan kebajikan ibu. Sebolehnya, setiap hari saya akan hubungi ibu di kampung bertanya khabar. Berusaha memenuhi kehendak ibu walaupun beliau tidak pernah meminta.
Kebiasaannya apabila ibu inginkan sesuatu beliau memang sudah bersedia dengan duit, tidak pernah meminta sesen pun duit dari anak. Beliau mahu anak menghantar wang ke kampung dengan kerelaan sendiri dan menanggapnya sebagai tanda ingatan.
Dalam membesarkan anak, saya sendiri bimbang kalau ada perilaku saya dan suami ada yang kurang elok untuk anak ikut. Otak anak ibarat span walaupun masih belum pandai bercakap, tetapi mereka merekod dengan melihat dan mendengar. Apabila sudah pandai, memang tiap-tiap hari ada sahaja kejutan. Seperti keadaan yang saya sedang lalui sekarang dengan Damia.
Oleh itu, marilah sama-sama kita jaga akhlak dan peribadi bagi menjaga kelangsungan anak-anak yang berakhlak baik. In Shaa Allah.
No comments:
Post a Comment