Friday, December 19, 2014

Pemudahcara Didik Anak

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed


Sebatang pen yang mempunyai banyak cerita.

Pen ini saya miliki ketika masih lagi bergelar seorang Jurutera Projek di sebuah syarikat swasta terkemuka.

Oleh kerana pen saya selalu hilang, jadi saya terpaksa melabelkan pen ini dengan nama saya. Tertulis nama dan jawatan pada pen "NURULDIYANABINTI MOHAMEDPROJECTENG(ELEC)".

Mungkin ada yang merasakan ini agak menggelikan hati atau mungkin ada yang akan berpendapat saya sedikit kedekut tetapi hakikatnya anda tentu tidak tahu berapa banyak pen saya yang telah hilang.

Dan yang menariknya, selepas saya melabelkan pen tersebut, pen itu masih kekal di tangan saya sehingga sekarang. Masih digunakan oleh saya dan anakanda Damia. Cuma tudung pen sahaja yang hilang dibuat puteri kesayangan.

Melalui pen ini saya tahu yang Damia sangat suka pen dan buku, pantang saya pegang pen dan buku, mesti berebut dengan dia.

Puteri kesayangan saya sangat suka pen dan buku yang kadang-kadang boleh jadi ubat apabila beliau menangis. Setiap kali Damia hendak menangis, pasti saya akan berikan pen. Selepas itu, mesti terus senyum. Tapi kena perhatikanlah, pen kan tajam. Kalau nampak berlari ke sana ke sini dengan pen dan agak bahaya pada hemat saya, saya akan ambil semula atau duduk kan Damia di meja belajar supaya dia boleh menulis dengan gembira dan selamat. Yang penting, harus beri perhatian dan pastikan keadaan selamat.  

Mencari barang kesukaan anak anda seperti buku, mainan ataupun penggendong bayi nyata boleh digunakan sebagai pemudah cara anda dalam mendidik anak-anak. Jika anak masih kecil, cuba elakkan benda tajam atau sekiranya terpaksa seperti saya, sentiasa pantau dari semasa ke semasa. 

Memiliki anak yang gembira dan ceria adalah impian setiap ibubapa seperti saya. Sebolehnya saya cuba elakkan daripada memarahi anak dan bersikap positif. 

Saya yakin anak-anak yang ceria mampu mengoptimumkan kesan pembelajaran berbanding anak-anak yang sering "tantrum" ataupun bersedih.

Malah Rasulullah SAW  sendiri pernah mengajar kita melalui sunnah beliau. Pada peringkat pertama 1-7tahun Rasulullah SAW mengajar kita supaya memanjakan, mengasihi dan mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Mengikut banyak kajian yang dibuat juga, anak yang selalu dimarahi, ditengking apatah lagi diherdik boleh menyebabkan kurang keyakinan pada diri.

Kesimpulannya, anak-anak kecil haruslah dididik dengan penuh kasih sayang dan berhemah. Jika perlu, cari minat anak dan gunakan sebagai pemudah cara dalam mendidik anak-anak. Anak yang ceria, berpotensi menjadi anak yang bijak seterusnya berakhlak mulia, In Shaa Allah. 



No comments:

Post a Comment