Monday, February 9, 2015

Erti Kehidupan Kita dan Anak-Anak

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Rentetan daripada membaca buku motivasi bertajuk 'Celik Mata & Jiwa" daripada Dr. muhaya Hj. Mohamad, kesulitan hati yang berlaku kerana kehadiran orang-orang yang bercakap dan bersikap tidak memikirkan perasaan orang lain yang akhirnya mengundang gundah gulana di dalam hati.

Rasanya dulu masa mula-mula menulis sudah cukup kuat dan positif tetapi sejak akhir-akhir ini agak emosi apabila berhadapan dengan manusia yang tidak berhati perut. Adakah dugaan terlalu besar atau saya yang semakin lemah? Semakin kurang motivasi?

Dalam misi mencari lebih motivasi diri terjumpa petikan yang menarik yang ditulis dalam buku Dr. Muhaya yang satu ini. "Pernahkah kita bertanya setiap kali kita bangun dari tidur apa perasaan kita? Adakah kita mengeluh ataupun bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat dunia dan kita membuat sesuatu perkara demi untuk mencapai cita-cita ataupun mencapai makna yang berharga kepada kehidupan?"

Kalau saya pada hari ini, selepas menjadi lemah setelah segala masalah yang melanda saya fikir saya tetap bersyukur kerana saya tahu Allah SWT dah beri banyak perkara baik dalam kehidupan saya. Sepasang anak-anak yang baik dan sempurna juga seorang ibu yang sangat penyayang dan prihatin akan kehidupan anak bongsu perempuannya yang seorang ini.

Disebalik setiap kesusahan hanya ibu dan anak-anaklah kekuatan saya dan kadang-kadang suami juga jadi sumber kekuatan. Ibu, suami dan anak-anak, itulah dunia kecil saya setiap hari. Walaupun ibu jauh di mata, kami hampir setiap hari bertanya khabar sementelah saya telah menyediakan sebuah telefon bimbit khas untuk berhubung dengan ibu (percuma apabila menghubungi sesama sendiri).

Kerana ibu jauh, saya tidak mampu balik ke kampung selalu. Jadi, walaupun sedih. Inilah yang termampu saya lakukan buat masa sekarang. Alhamdulillah ibu cukup memahami dan memberi sokongan kepada saya tidak seperti sesetengah orang yang cuba memanipulasi demi kepentingan diri sendiri sahaja. Syukur saya masih ada seorang ibu.

Kerana dunia saya yang kecil tidak seperti bekerja di luar, sedikit perkara negatif mengundang impak yang cukup besar. Benarlah kata mentor ketika di Bank Negara dahulu, input negatif itu sungguh berbahaya. Pendedahan kepada media tempatan yang banyak mendedahkan perkara negatif dan tidak bermoral adalah perlu dielakkan.

Sebab itulah dalam buku panduan rekod kesihatan anak-anak juga ada meletakkan garis panduan kawalan penggunaan televisyen untuk anak-anak. Anak-anak di bawah umur dua tahun dilarang didedahkan kepada televisyen. Satu perkara yang saya impiankan tetapi gagal kerana tiada kesedaran daripada orang sekeliling.

Di bawah adalah tiga sebab manusia dilahirkan di dunia ini yang di olah di permulaan buku ini;

1) Menjadi hamba Allah
2) Menjadi khalifah
3) Mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah SWT

Mendidik anak-anak menjadi hamba Allah SWT adalah fokus utama saya. Saya ingin anak-anak menjadi hamba Allah SWT yang taat mengikut landasan yang betul. Seterusnya mendidik diri sendiri melakukan perkara yang sama. Biarlah betapa susahnya hidup di dunia, asalkan di akhirat nanti bahagia. Dunia kan cuma persinggahan sahaja.

Besar harapan saya semoga insan di sekeliling dan pembaca saya melakukan perkara serupa. Dengan itu tiada lagi istilah dengan sengaja atau tidak sengaja menyakiti orang lain. Semoga kita sama-sama hidup bahagia dan berjaya mendidik anak-anak yang menjadi khalifah berjasa di muka bumi Allah SWT.

In Shaa Allah.

No comments:

Post a Comment