Friday, September 18, 2015

Resign Demi Bahagia!

Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed

Bercerita mengenai berhenti kerja bukanlah sesuatu yang saya suka untuk lakukan. Banyak konflik yang berlaku membuatkan saya lebih selesa menyimpan sahaja segala kenangan yang ada. Tapi saya tetap redha kerana ketika itu saya yakin inilah pilihan terbaik untuk semua.

Saya mempunyai impian yang besar dalam kerjaya dan masa hadapan saya, memilih jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang mengkhususkan dalam bidang Sistem Kuasa membuatkan saya tidak begitu mengambil berat tentang soal perkahwinan, walaubagaimanapun itu tidak memberi sebab untuk saya menolak jodoh yang datang.

Perancangan Allah SWT itu Maha Indah. Atas kehendak ibu saya, saya berkahwin juga akhirnya. Selepas membuat keputusan untuk berkahwin saya meletakkan jawatan kali pertama sebagai Jurutera Projek di sebuah syarikat swasta terkemuka yang tersenarai dalam Bursa Malaysia semata-mata kerana ingin tinggal bersama suami setelah permohonan pertukaran saya ditolak. Walaupun ditawarkan gaji dan jawatan yang baru saya nekad berhenti kerana ingin tinggal sebumbung dengan suami.

Pada masa itu saya berfikir apalah gunanya menjadi suami isteri andai hanya berjumpa di hujung minggu. Pasti sedih. Lagipun pada ketika itu saya ada teman serumah yang tinggal berjauhan dengan suami selepas berkahwin dan saya selalu lihat dia menangis bila diusik rakan-rakan serumah dan itu menguatkan lagi alasan saya untuk berhenti kerja.

Saya sangat sukakan jawatan saya pada ketika itu, walaupun penuh cabaran tapi saya cukup selesa kerana berjaya mengimbangi tanggungjawab dengan baik sehingga mendapat kepercayaan orang bawahan mahupun atasan. Mungkin juga kerana kerja-kerja yang saya lakukan memang kena dengan apa yang saya pelajari semasa di Universiti.

Dalam proses meletakkan jawatan,  beberapa kali surat perletakan jawatan saya di buang ke dalam tong sampah oleh orang atasan kerana mereka tidak mahu saya berhenti kerja tetapi setelah mendapatkan nasihat dari setiausaha syarikat akhirnya permohonan perletakan jawatan saya diluluskan. Perletakan jawatan saya kali pertama ini direstui oleh ibu kandung saya kerana beliau juga berpendapat lebih elok sekiranya saya tinggal sebumbung dengan suami selepas berkahwin.

Selepas semua majlis perkahwinan kedua-dua belah pihak pengantin perempuan dan lelaki selesai, saya mula memohon jawatan baru dekat tempat tinggal baru kami di Kuarters Politeknik Nilai, Negeri Sembilan. Dalam tempoh mendapatkan kerja baru saya merasa sangat bosan kerana sudah biasa sibuk bekerja. Jadi saya membantu suami menguruskan pelajar sukan dan menanda soalan ujian pelajar. Ketika itu suami memegang jawatan sampingan sebagai Pegawai Sukan di samping tugas utama sebagai Pensyarah Perbankan Islam.

Tidak lama kemudian saya ditawarkan jawatan sebagai Jurutera Projek di sebuah syarikat binaan di Lukut, Port Dickson. Jarak perjalanan tiga puluh minit dari rumah. Maka, bermulalah kehidupan bekerjaya yang baru. Ketika itu saya boleh merasakan perbezaan keyakinan antara tinggal di rumah dan bekerja. Betapa tinggi keyakinan saya dalam menghadapi dunia luar. Saya sebenarnya tidak begitu mahir memandu kereta dan lebih suka bermotosikal tetapi selepas berkahwin suami sudah tidak membenarkan lagi. Jadi, selain bekerja saya juga mampu meningkatkan kemahiran memandu kereta apabila terpaksa memandu ke tempat kerja sendiri pada setiap hari.

Kerjaya yang baru ini tidaklah begitu mencabar dari segi mental tetapi mencabar dari segi fizikal. Kerja-kerja lebih kepada Kejuruteraan Awam tetapi melibatkan Kejuruteraan Elektrik. Projek-projek yang dilakukan lebih menjurus kepada pemasangan menara penghantaran sistem kuasa untuk Tenaga Nasional Berhad.

Pada ketika itu saya mempunyai projek di Sungai Siput, Perak dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Jadi saya kerap terpaksa ke luar kawasan untuk memantau projek dan menghadiri mesyuarat termasuk di TNB Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sungai Siput, Perak. Sekali-sekala saya juga perlu masuk hutan untuk memantau pergerakan projek.

Sebelum menerima jawatan kedua ini saya dijanjikan outstation yang seminima sekali sebulan kerana majikan menyedari saya sudah berkahwin tetapi apabila sudah bekerja separuh bulan saya di jalan sahaja. Kadang-kadang balik hari dan sampai rumah pukul satu pagi. Tapi itu bukanlah masalah besar bagi saya kerana saya memang suka melakukan apa sahaja dengan sepenuh hati. Suami juga tidak menghalang pada mulanya tetapi setelah saya hamil anak pertama suami mula risau.

Pada suatu hari saya baru sahaja pulang outstation dari Sungai Siput, Perak balik hari sehingga pukul satu pagi dan sedang menguruskan dokumen projek di Kuala Lumpur bersama seorang rakan apabila majikan menelefon dan mengatakan ada masalah di tapak projek di Sungai Siput, Perak dan saya harus ke sana pada keesokan harinya dan kali ini saya kena bermalam di sana. Kerana penat yang lama belum hilang saya katakan pada majikan saya mahu minta kebenaran suami terlebih dahulu dan segera menelefon suami. Saya sudah jangka suami akan marah tetapi tidak menyangka beliau menyuruh saya berhenti kerja.

Sebelum berhenti kerja saya ada mendapatkan nasihat dari rakan-rakan yang terlibat dalam dunia perubatan dan mereka juga menasihatkan saya supaya elakkan dari kerap melakukan perjalanan jauh kerana ia bahaya untuk saya dan anak dalam kandungan. Saya sungguh bernasib baik sebab walaupun kerap outstation pada awal mengandung tetapi kandungan saya tetap bertahan. Akhirnya saya mengambil keputusan berhenti kerja kali kedua kerana suami dan anak kami.

Ketika masih bekerja saya sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan dan ada memperuntukkan sedikit wang dari gaji untuk simpanan di ASB selain wang untuk ibu dan perbelanjaan. Selepas tiga bulan melahirkan anak, saya membuat timbang tara sama ada ingin bekerja semula atau dirumah sahaja. Pada ketika itu saya langsung tidak terfikir untuk berniaga kerana saya tiada kemahiran dan agak pemalu.

Ketika sedang membuat pertimbangan berlaku pula kejadian anak kawan kakak meninggal di taska berdekatan rumah mereka yang juga berdekatan dengan tempat tinggal lama saya ketika sebelum berkahwin. Jadi, saya sedikit bimbang untuk menghantar anak ke pengasuh mahupun taska. Majoriti kakak-kakak saya juga semuanya bekerja dan meninggalkan anak di taska, pengasuh atau orang gaji. Banyak kes yang pernah berlaku juga membuatkan saya sedikit trauma dan saya yakin tiada sesiapa mampu menjaga anak saya lebih baik dari diri saya sendiri.

Suami ada mencadangkan saya supaya berniaga secara kecil-kecilan tetapi sikap pemalu amat menebal dalam diri, lagipun saya langsung tidak mempunyai ilmu dalam perniagaan, bagaimana mahu mendekati pelanggan?

Saya mempunyai seorang rakan lama di universiti yang menjalankan perniagaan barangan keperluan bayi secara atas talian. Saya bermula sebagai pelanggan beliau, saya membeli beberapa keperluan bayi seperti headbandcloth diaper dan permainan bayi. Lalu suami cadangkan saya belajar dari beliau. Apabila menceritakan masalah saya kepada rakan saya itu, beliau mencadangkan supaya saya menjual barang-barang jualan beliau secara dropship. Lalu saya bersetuju. Saya ketepikan rasa malu yang ada dan mempromosi barangan di akaun peribadi Facebook dan Facebook Pages dengan menggunakan nama kedai NHD BABY SHOP. NHD adalah singkatan kepada nama anak pertama kami iaitu Nurul Hana Damia.

Dengan perkhidmatan dropship kita tidak perlu menyediakan stok tetapi kita hanya mempromosi dan mengambil tempahan pelanggan. Apabila pelanggan bertanya, saya akan menyemak dengan pembekal bagi memastikan stok yang masih ada dan selepas pelanggan membuat bayaran,  saya akan memaklumkan kepada pembekal dan membuat bayaran mengikut harga dropship. Keuntungan dropship ini biasanya tidak besar tetapi sudah memadai bagi peniaga baru yang ingin memulakan perniagaan dengan modal yang rendah atau hampir tiada modal. Kebiasaanya saya suka menggunakan dahulu barangan yang bakal dijual bagi memastikan saya tahu apa yang saya jual. Jadi, saya hanya mengeluarkan modal untuk mencuba barangan yang bakal saya jual supaya senang untuk saya menceritakan pada para pelanggan.

Saya kemudiannya merasa sangat susah untuk menjalankan perkhidmatan dropship kerana kadang-kadang apabila pelanggan telah membuat bayaran barang pula sudah dijual kepada orang lain kerana perniagaan online ini bergantung kepada siapa yang bayar dahulu. Kalau peniaga baik hati, dia akan simpankan sebentar apabila pelanggan sudah setuju mahu beli. Tetapi kebanyakannya ingin menjual barangan secepat mungkin. Jadi konsep keutamaan siapa yang bayar dahulu digunakan. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan sedikit modal dan menyediakan stok sendiri bagi memudahkan kerja pengurusan.

Bila ada stok sendiri saya fikir ia lebih mudah tetapi timbul pula masalah dari segi promosi. Saya tersilap kerana terlalu mengikutkan kehendak segelintir pelanggan yang inginkan barang begitu begini sedangkan apabila kita memborong ada kuantiti minima yang dibenarkan. Akibat mempunyai terlalu banyak barangan dan kesuntukan masa kerana melakukan dua kerja dalam satu masa, tugas mempromosi jadi sukar. Sehingga satu tahap saya sempat membuat cabutan barang apa yang saya perlu promosi pada satu-satu masa. Jadi akhirnya saya membuat keputusan untuk fokus kepada beberapa barangan sahaja pada satu-satu masa.

Perniagaan saya banyak tersebar melalui mulut ke mulut dan Alhamdulillah mempunyai pelanggan tetap. Kini sudah masuk tahun ke tiga saya menguruskan perniagaan NHD BABY SHOP dan telah mempunyai website sendiri di www.nhdbabyshop.com.

Kesibukan saya menguruskan dua anak yang masih kecil dan suami sambil berniaga membuatkan kadang-kadang saya tidak sempat memuat naik produk terbaru, jadi anda boleh juga ikuti perkembangan saya di Facebook Page : NHDBaby dan akaun peribadi saya di Nhdbaby Diyana.

Produk terbaru kami yang baru dibawa masuk adalah Cadar Kalis Air yang lebih baik dari alas tilam kerana dapat melindungi seluruh atas tilam. Cadar ini sangat bagus bagi ibu bapa yang ingin menjaga kebersihan tilam apabila mempunyai anak-anak kecil, mengelakkan debu hama akibat tilam lama bagi anak di asrama dan juga penjagaan orang tua mahupun orang sakit.

Perniagaan saya adalah satu usaha saya untuk membantu suami dikala kesusahan dan juga satu kekuatan untuk saya meneruskan hidup dengan penuh yakin. Kerana dilahirkan dalam keluarga yang sangat sederhana, sedikit kesusahan bukan halangan untuk saya. Saya sentiasa memikirkan wang bukanlah segala-galanya walaupun segala-galanya memerlukan wang. Kalau cukup sekadar untuk membantu ibu yang sudah tua di kampung pun saya sudah cukup bersyukur.

Jika ditanya kepada saya apa cadangan saya kepada bakal-bakal mama yang merancang mahu resign? jika merancang untuk bekerja dari rumah, mulakan dengan perkhidmatan dropship ketika masih bekerja, bina pelanggan. Jika risaukan pelanggan yang dekat-dekat, sediakan sedikit stok yang anda yakin mampu jual. Tidak perlu dikejarkan untung yang banyak secara borong kerana anda belum tahu lagi apa masalah yang timbul di masa hadapan. Kawal diri dari sifat tamak. Mungkin akan ada masa-masa sukar barangan anda tidak habis terjual, ketika itu anda akan lebih rugi. Menyertai komuniti seperti Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) juga akan banyak membantu.

Jika anda memilih untuk menjadi suri professional sepenuh masa sahaja, anda akan menerima cabaran yang hebat sekiranya tidak mempunyai kekuatan kewangan dan emosi. Ubah persepsi masyarakat tentang suri rumah tidak bekerja kerana suri rumah itu sendiri adalah satu pekerjaan yang bergaji pahala yang penting di syurga nanti. Jangan pernah ada rasa rendah diri kerana pahala itu jauh lebih bernilai dari wang ringgit.  Untuk kekal positif, perbanyakkan membaca buku-buku motivasi, majalah berinformasi seperti Majalah Mingguan Wanita atau mendengar ceramah agama dan motivasi yang banyak di televisyen. 

Akhir sekali, ikhlaskan hati dan rajinkan bersedekah. Banyakkan senyum dan berdoa semoga Allah SWT murahkan rezeki kita di dunia dan di akhirat walaupun hanya dari rumah, semoga Allah SWT mempermudahkan jalan mencari rezeki suami kita dan semoga kita semua dikurniakan anak yang soleh solehah.

In Shaa Allah. Amin (Mohon Diperkenankan).


No comments:

Post a Comment