Friday, April 24, 2015

Setiap Ibu Itu Hebat

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Setiap orang ibu itu hebat dalam versi mereka yang tersendiri. Tidak kiralah Suri Bekerjaya, Suri Rumahtangga mahupun Suri Bekerjaya dari rumah.

Fasa atau proses kehamilan, kelahiran dan membesarkan anak-anak itu sendiri sudah hebat ditangani. Dari aspek kerjaya pula;

Suri Bekerjaya atau ibu yang bekerja di luar dan meninggalkan anak-anak sebenarnya hebat hatinya  bertawakkal kerana meninggalkan anak-anak seharian di tangan pengasuh. Sesuatu yang masih belum mampu saya sendiri lakukan. Tetapi demi mencari rezeki untuk kesenangan hidup keluarga, mereka keluar bekerja. Hanya doa mereka yang mengiringi anak-anak sehari-hari.

Suri Rumahtangga atau Ibu yang tidak bekerja juga hebat kerana mampu hidup dengan apa yang ada, lagi-lagi kalau suami tidak bergaji rendah atau sederhana. Tetapi kalau bergaji tinggi pun susah juga, hati pasti bimbang suami curang dan sebagainya. Manusia mana-mana pun kalau duit banyak di depan mata senang mengikut telunjuk syaitan. Lagi-lagi kalau solat tidak cukup lima waktu.

Bukan berdiskriminasi, tetapi solat itu tiang agama. Bayangkan rumah tanpa tiang? agak-agak boleh berdiri tegak atau tidak. Biarpun memaksa diri tetapi tetap juga harus dilakukan kerana tiang agama itulah tiang rumahtangga. Kerana agama Islam itu panduan hidup bukan hanya catatan pada IC semata-mata.

Suri Bekerja Dari Rumah juga hebat, kerana melakukan dua perkara dalam satu masa. Ada masa-masanya hidup sungguh huru-hara kerana pelanggan harus dijaga tetapi dalam masa yang sama keperluan keluarga juga perlu diutamakan. Kadang-kadang tidur malam juga tidak lena. Ada masa-masanya waktu malam juga digunakan untuk bekerja kerana tidak cukup masa.  Mempunyai anak yang masih bayi dan kecil seperti saya tentulah cabaran utama.

Kejayaan mereka juga di atas kaki sendiri dan bukanlah begaji tetap bulan-bulan. Pendapatan diukur seiring  usaha. Sekiranya kerjaya diutamakan sudah tentulah nama sahaja anak di depan mata, tetapi diri sentiasa sibuk memikirkan segala kerja. Bila anak berjaga harus bekerja di samping memerhatikan anak-anak. Jika anak lena, masih berganda urusan rumahtagga yang perlu dilakukan.

Rumah yang sentiasa berpenghuni 24 jam sehari sudah tentulah tidak sama dengan rumah yang kosong di siang hari dan terisi di malam hari. Tugasan memasak sahaja sudah banyak mengeluarkan tenaga.

Jika keluarga diutamakan berbanding kerjaya, tentulah pendapatan tidak seberapa. Juga hidup dengan apa yang ada.

Setiap ibu itu kuat fizikal dan jasmaninya. Kerana apa sahaja keputusan juga memerlukan pengorbanan yang tersendiri. Banggalah jika anda seorang yang bergelar ibu.

www.nhdbabyshop.com

No comments:

Post a Comment