Teks: Nurul Diyana Mohamad.
Sebelum GST dilaksanakan banyak kebimbangan mengenai perbelanjaan, ekonomi negara dan sebagainya yang saya fikirkan.
Semalam kali pertama membeli belah selepas GST. Membeli belah dalam rasa berhati-hati dan beringat. Suami minta di masakkan spagetti. Sudah lama tidak buat katanya. Dalam memilih barang, bukan main lagi saya pilih yang harga berpatutan. Kalau boleh nak yang paling murah, biarpun tak ada jenama. Bukan main ambil sahaja macam selalu.
Kemudian terdetik dalam hati "ada juga kebaikan GST ni pada aku".
Begitulah kita, bila terhantuk baru nak terngadah. Bila susah baru nak beringat. Itu cara saya dalam menangani GST. Taraf hidup dikira sangat sederhana dengan seorang suami yang kurang lebih lima tahun berkhidmat dengan kerajaan dan saya berniaga online secara kecil-kecilan sambil menguruskan anak-anak dan rumahtangga.
Pendapatan utama kami hanya dari suami seorang sahaja. Pendapatan saya untuk diri saya dan back up suami andai tidak mencukupi, membantu ibu di kampung dan ada kalanya beli barang kehendak untuk suami dan anak-anak.
Bagaimanalah agaknya nasib rakyat yang berpendapatan rendah, baru-baru ini Ada terbaca mengenai anak yang ditinggalkan di hadapan rumah orang, lengkap berpakaian dan berkelambu bersama sepucuk surat minta dijaga anaknya kerana masalah kewangan.
Tadi menghubungi ibu di kampung bercerita, kata ibu di sana juga ada yang sanggup memberikan anak kepada orang sebab sudah ada ramai anak. Tidak mampu jaga lagi. Walhal bagi saya, setiap anak itu ada rezeki masing-masing. Tinggal ibu bapanya berusaha sahaja.
Tapi biasalah mungkin si ibu terlebih bimbang akan masa depan si anak. Mana ada ibu yang tidak menyayangi anak-anak melainkan jika hati sudah hitam. Macam tajuk drama pula ayat saya ni. Tapi begitulah hakikatnya, jarang ada ibu yang ingin melepaskan anak-anaknya melainkan benar-benar terdesak.
Sehari dua ini juga banyak sungguh berita kejadian samun dan rompakan dari rakan-rakan. Ada yang mengacukan senjata ketika mangsa mengeluarkan wang di ATM, ada kereta dipecahkan dan tangan dipotong kerana ingin menyamun barang kemas dan semalam di Bandar Enstek ada kejadian tembak-menembak polis dan perompak yang katanya perompak meninggalkan kereta dan lari ke dalam semak buat kami bimbang pula mahu keluar rumah. Harapnya sudah tertangkap lah.
Terdetik persoalan, adakah GST ini telah meletakkan semua orang dalam keadaan terdesak?
Walaupun saya 100% tidak bersetuju dengan perlaksanaan GST ini kerana menurut ilmu dan pengetahuan dari sudut agama yang saya ada dan beberapa siri perbahasan antara saya dan suami. Kami sebulat suara bersetuju bahawa cukai hanya untuk orang bukan Islam, untuk orang Islam kita ada zakat.
Itupun masih di rasa kan kurang telus pelaksanaannya kerana kita lihat sana sini kaunter pungutan zakat, tetapi kaunter pemberian zakat atau sekurangnya informasi tentang permohonan untuk penerimaan zakat oleh orang yang bekelayakan tiada pula. Bagaimana orang susah yang tiada talian internet atau ilmu hendak mendapatkan hak mereka? akhirnya lahirlah pengemis di sana sini.
Kadang-kadang bila ada yang minta sedekah geram sahaja saya ajak mereka pergi makan, tidak mahu beri duit kerana bimbang mereka menjadi mangsa sendiket. Tapi kerana bimbang kan sendiket dan saya sendiri punya anak-anak kecil yang sentiasa dibawa bersama jugalah, terpaksa abaikan sahaja.
Kebiasaannya suami beri sedikit wang, kami telah mendengar pandangan beberapa Ustaz bahawa jika kita beri dan ikhlaskan itu juga di kira sedekah. Bekalan akhirat kita. Apa yang terjadi selepas itu di luar kawalan kita. Tapi kadang-kadang kami tidak beri juga kerana bimbang kegiatan ini berleluasa.
Saya pernah terlibat dengan satu program khidmat masyarakat selama beberapa bulan semasa selepas habis belajar. Saya tahu dan telah menyaksikan sendiri bagaimana bertungkus lumusnya penganjur untuk memahamkan orang-orang atasan akan kepentingan program, meminta dana ibarat mengemis duit mereka sedangkan itu adalah duit syarikat atau mungkin duit rakyat juga.
Mereka langsung tidak dapat memahami akan kepentingan membantu orang susah, apatah lagi mengenali apa itu erti susah. Mungkin patut ada satu program di Malaysia ini untuk orang kaya-kaya pergi mengalami sendiri pengalaman menjadi orang susah supaya mereka insaf dan lebih memahami. Atau mungkin syarat untuk menjadi pemimpin masa depan perlu ada satu tempoh masa khidmat masyarakat tinggal bersama orang susah sebelum melayakkan diri menjadi pemimpin. Baru betul.
Atau kita boleh lihat dari sudut pandangan ini, orang yang berjaya, adalah orang yang maju ke hadapan tak kira apa masalah. Tidak melihat kesalahan orang lain tetapi hidup di atas kesalahan itu dan jadikannya "push factor" untuk lebih berjaya.
Teruskan berdoa semoga Allah SWT membantu dan melindungi kita semua dari segala kekejaman, khianat dan hasad dengki manusia, jin dan syaitan. Hakikatnya tiada satu pun perkara yang berlaku tanpa izin dari Allah SWT.
No comments:
Post a Comment