Teks: Nurul Diyana Mohamed
Ke mana hari ini semuanya?
Hari minggu seperti hari ini kalau tak ke mana-mana kami berada di rumah sahaja. Mengemas, memasak, berkebun, bermain dengan anak-anak dan melakukan apa yang patut.
Pagi-pagi lagi suami dah siap vacumm bilik-bilik. Semangat menggunakan penyedut hampagas baru idaman beliau setelah beberapa lama penyedut hampagas kepunyaan kami rosak. Kali ini beliau mencari penyedut hampagas yang batangnya besi pula. Batang plastik senang rosak. Suami memang sangat suka menggunakan penyedut hampagas apabila mengemas, saya pula lebih suka menggunakan penyapu sebab tak suka dengan bunyi bising yang dikeluarkan.
Kami suami isteri memang berbeza dari segi keinginan dan kehendak tetapi tujuan kami sama, ingin melihat rumah kemas dan anak-anak tinggal dalam persekitaran yang bersih. In Shaa Allah.
Sedang menyapu di balkoni hari ini Damia ikut sama keluar ke balkoni. Selepas menyapu dia pula naik basikal yang saya letakkan di situ. Mulanya saya peruntukkan balkoni tu untuk Damia bermain, siap mop lantai bagi bersih lagi. Tapi kesuntukkan masa seharian membuatkan saya tidak sempat nak membersihkan balkoni setiap hari sedangkan di sini tiap-tiap hari angin kuat dan daun-daun terbang ke lantai balkoni.
Tapi sekiranya mempunyai masa, saya akan membersihkan dan membenarkan Damia bermain di situ. Kadang-kadang saya bawa Damia sambil saya sendiri mengendong Ammar untuk bermain di belakang rumah. Syukurlah di kuarters baru kami ini ada tanah lapang sedikit di belakang rumah. Kuarters lama lebih besar dan selesa tetapi di belakangnya gaung. Lagipun dahulu kami di tingkat 2. Jadi, agak ralat untuk turun ke bawah. Alhamdulillah walaupun kuarters sekarang lebih kecil tetapi yang penting kami masih bersama-sama. Dan In Shaa Allah segala-galanya akan lebih baik.
Buat pengetahuan semua, dahulu ayah Damia dan Ammar warden di Politeknik Nilai, jadi kami tinggal di kuarters Warden. Tetapi ketika sarat mengandungkan Ammar, tiba-tiba sahaja beliau meletakkan jawatan. Semua berlaku dalam masa yang singkat, kebetulannya sudah lama saya meminta beliau berhenti kerana kerapkali beliau terpaksa berkerja sampai pagi kerana pada masa tu jawatan Pengurus Asrama belum dipenuhi. Jadi, terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa. Belum lagi termasuk terpaksa menghantar pelajar sakit ke hospital dan balik hampir waktu subuh. Sekiranya saya keseorangan atau hanya bersama Damia, In Shaa Allah masih boleh diuruskan. Tapi apabila sudah ada dua anak, bimbang juga malam-malam terpaksa sendiri. Silap haribulan anak-anak menangis, ummi mereka juga akan turut menangis.
Tadi semasa bermain dengan Damia, terlintas difikiran risau beliau haus. Jadi, saya mengambilkan segelas minuman coklat reevo yang juga dijual di NHDBABY SHOP. Minuman coklat yang sangat sedap kegemaran seluruh keluarga. Semenjak boikot minuman yang berkaitan dengan Zionist Israel. Inilah minuman kami. Keluaran tempatan dan lagi sedap.
Setelah minum beberapa teguk sambil diperhatikan, saya biarkan pula beliau berdikari minum sendiri. Tapi tidak beberapa lama saya pandang ke arah lain, saya dengar bunyi cawam jatuh. MasyaAllah, Damia tumpahkan minuman pula. Tapi disebalik reaksi reflek terkejut saya, saya memilih untuk senyum dan berkata "Damia tak sengaja ye tumpahkan air?, terlepas dari tangan ye?" Walaupun kata-kata saya tidak mendapat jawapan dari Damia, saya sambung lagi "Damia duduk elok-elok ye, tunggu sekejap ummi ambilkan kain basah dan lap"
Mungkin apabila berdepan dengan situasi ini ibu-ibu akan memarahi anak-anak tetapi saya pegang cara didikan anak dalam sunnah Rasulullah SAW, anak-anak di bawah umur 7 tahun hanya layak disayangi dan bukan dimarahi. Jadi, sebolehnya saya akan bersabar. Minda saya juga telah diprogram untuk perkara-perkara sebegini. Jadi, tidak susah untum saya bersabar. Malah, sekelumit rasa marah pun tiada apabila anak-anak berbuat salah.
Pernah juga sekali dua saya hilang sabar atau termarah tapi lebih kepada tidak tahu apa nak buat. Masih banyak perlu dipelajari mungkin. Itu terjadi apabila Damia berbuat salah dengan sengaja kerana inginkan perhatian, dilarang, dipujuk tidak jalan. Sedangkan ketika itu saya sedang sibuk memasak atau ada kerja yang memerlukan prioriti. Mungkin ibu-ibu yang mahir tentang ini boleh berikan saya pendapat bagaimana ingin menguruskan waktu sebegitu.
Doa saya semoga saya berjaya mendidik anak-anak ini menjadi hamba Allah yang berjaya, pemimpin yang baik dan anak-anak soleh solehah untuk masa hadapan. In Shaa Allah.
No comments:
Post a Comment