Teks dan Foto: Nurul Diyana Mohamed.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Wah! Berpuitis pula saya malam ini. Macam lagu Allahyarham P.Ramlee pula. Tapi itulah hakikatnya yang berlaku antara saya dan suami.
Tapi tidaklah sampai bergaduh sebenarnya. Kami lebih kepada berselisih pendapat mengenai pendidikan awal anak-anak. Semuanya bermula apabila suami memulakan perbincangan dengan saya mengenai niat beliau mencari duit tambahan dengan mengajar tuisyen.
Tapi saya sebagai isteri dengan selamba menjawab, abang peruntukkan didik anak sejam sehari dulu baru boleh ajar anak orang lain yang mengudang perbahasan tentang kenapa pentingnya pendidikan awal anak-anak. Suami mempertikai kerana tidak tahu kepentingan mengajar anak sejak dari dalam kandungan.
Dialog kami:
Suami: Bagaimana ingin mengajar anak sedangkan mereka masih kecil. Bila anak dah pandai banyak nanti, abang ajarlah.
Saya: Pada pendapat abang dari mana agaknya Damia dapat keluarkan perkataan seperti menjerit "sejuk!" ketika mandi atau "sayang.." bila ingin membodek abang dan banyak lagi perkataan lain?
Suami: Kan ayang selalu cakap pasal kepimpinan melalui tauladan, dia ikut kitalah.
Isteri: Sedangkan masa tu kita tak pernah sebut pun perkataan tu?
Suami: Diam.
Suasana memang agak sedikit tegang ketika itu tapi sebentar sahaja. Itulah akibatnya kalau tidak suka membaca. Suami jenis yang suka mendengar dan menonton rancangan ceramah atau motivasi sahaja untuk ilmu. Sedangkan saya suka membaca, menulis, berkongsi dan mendengar juga.
Suami memang jauh beza sikapnya daripada saya. Teori pasangan berdarah O versus darah B memang kena dengan kami. Walaupun berbeza cara dan pendapat tetapi haluan kami sama. In Shaa Allah. Itulah yang menjadikan kami kehidupan berumahtangga kami penuh warna warni.
Mungkin juga salah satu sebab kerana kami keduanya berpelajaran tinggi. Jadi pendapat isteri memang tak mahu kalah. Selagi saya rasa betul, saya akan pertahankan.
Memang terlalu penting mendidik anak seawal dari dalam kandungan lagi. Suami mungkin cuma tidak faham sebab tidak biasa. Kalau saya dah terangkan nanti, fahamlah dia. Antara cara dan kepentingan mendidik anak dari kecil ialah:
1) Apabila kita mengajaknya berbicara, bermain dan bergurau, ibu bapa dapat merangsang perkembangan pemikiran, afektif, konatif, psikomotorik, mahupun dzauq (kehalusan getaran batin).
2) Sekiranya kita membiasakan diri membaca asma' Allah kepada anak-anak, In Shaa Allah anak-anak akan mengalami sentuhan tauhid dalam diri mereka.
Rasulullah SAW pernah bersabda:"Awalilah bayi-bayimu itu dengan kata-kata Laa ilaaha illallah."
Memberikan pendidikan awal kepada anak-anak bukanlah bermaksud mengajar A,B,C, D atau Alif, Ba, Ta, Tsa. Ia lebih daripada itu. Kita boleh pelbagaikan cara kita mendidik anak-anak. Malah sambil bermain juga masih dikira mengajar. Seperti bermain Building Block yang saya pernah ceritakan sebelum ini, ia banyak membantu Damia dalam mengkoordinasi tangan dan mata beliau.
Pada abad ke-13, seorang menteri kerajaan Romawi, Frederick 11 pernah mengadakan penyelidikan untuk mengkaji bagaimana manusia dapat berbahasa ke atas sekumpulan bayi. Bayi-bayi itu di jaga dengan baik; disusukan, dimandikan dan dirawat tetapi tiada sesiapa pun dibenarkan berbicara, bernyanyi atau mendodoikan mereka tidur. Penyelidikan ini berakhir dengan penuh tragis dengan kesemua bayi itu meninggal secara misteri. Sampai begitu sekali komunikasi memberi kesan kepada psikologi anak-anak.
Jadi, satu lagi cara untuk mendidik anak-anak sedari kecil adalah menyanyikan lagu dan bercerita dengan anak-anak. Mengikut kajian, bayi yang berusia empat bulan sangat menyukai suara ibunya berbanding wanita lain.
No comments:
Post a Comment