Teks: Nurul Diyana Mohamed.
Tersentuh apabila mendengar luahan hati seorang ibu hari ini.
"Setiap orang ibu pasti lebih mengenali anaknya berbanding orang lain.
Baru sebentar tadi saya pergi mengambil barang dari kereta kawan sebelah apartmen. Saya dan kawan tersebut ada membeli barang bersama-sama dan kongsi kos pengeposan. Perancangannya, beliau sepatutnya singgah menghantar barang ke rumah saya selepas pulang dari bandar Nilai tetapi kerana halangan hujan lebat dan membawa anak kecil, beliau meminta saya untuk menyuruh suami mengambil barang yang ditinggalkan dalam kereta tidak berkunci di hadapan rumah.
Tetapi kebetulannya si ayah ke kedai membeli barang berniaga dan membawa si kakak. Si adik pula baru saya tidurkan selepas menyusu. Tidak mahu menyusahkan suami dan setelah yakin anak akan tidur sehingga saya sempat mengambil barang, saya keluar sebentar ke sebelah rumah setelah meminta izin suami terlebih dahulu. Lagipun rasa tidak manis suami mengambil barang dari kereta seorang wanita yang suaminya tinggal berasingan. Bimbang apa pula kata jiran-jiran nanti.
Selepas mengambil barang, terserempak pula dengan seorang lagi jiran yang juga antara pelanggan saya. Bimbang dikatakan sombong, saya menegur. Tetapi sayangnya saya pula seolah-olah dituduh leka menjaga anak kerana meninggalkan anak seorang diri di rumah. Katanya macam-macam boleh berlaku dalam masa sebentar itu.
Ada benarnya kata beliau tapi jauh di sudut hati saya, saya tetap yakin bahawa anak saya selamat kerana saya hanya keluar ke hadapan apartment sebelah dan kemudian balik semula. Tidak menyinggah ke mana-mana. Ingin di bawa anak, anak sedang tidur, tambahan pula hujan gerimis. Berbanding bersama saya, sudah tentulah anak lebih selamat dan selesa tidur di rumah. Sama seperti anak sedang tidur, dan kita membuat kerja di dapur.
Sekiranya anak tidak tidur, saya suka mengendong anak sambil menyiapkan bahan memasak. Tapi bila memasak, tentulah diletakkan, bimbang anak terpercik minyak masak.
Sejujurnya saya sedikit terasa dengan kata-kata jiran saya itu, tapi mungkin sama seperti saya dengan anak pertama. Begitu obses dengan keselamatan anak, bila anak sudah dua barulah tahu membahagikan masa dan mencari masa. Kalau tak pandai membahagi masa, alamatnya kelaut la semua kerja. Makan pun tapau kedai la nampaknya.
Tadi saya sedikit terkilan, tapi selepas menulis, Alhamdulillah sedikit lega. Bersyukur Allah SWT berikan kelebihan ini. Menulis banyak membantu saya dalam mengatasi masalah seharian, dalam meneruskan misi positif mendidik anak-anak.
Saya cuma ibu biasa yang cuba menjadi luar biasa, tetapi bila dinilai orang seolah-olah dikata tidak bertanggungjawab, terasa juga. Saya sendiri cuba sedaya upaya untuk tidak menilai orang lain. Perkara yang saya rasakan tidak betul kebanyakkannya saya cuma jadikan pengajaran untuk diri sendiri, tidaklah sampai menegur mengata seolah-olah orang lain tidak bertanggungjawab. Tidak apalah, mungkin ini pengajaran buat saya.
Bila balik semula setelah tidak sampai lima minit ambil barang di dalam kereta kawan, setelah kembali anak masih tidur. Alhamdulillah, semuanya terjadi masih selari dengan hemat saya. Sesungguhnya inilah kali pertama kerana kebiasaannya saya meninggalkan kepada si ayah. Tetapi ini mungkin yang terakhir kali juga. Saya tidak mengharapkan penilaian sesiapa tetapi apa yang berlaku saya anggap sebagai peringatan untuk diri saya sendiri.
Jadi, selepas ini tiada lagi tukar barang ataupun apa-apa perkongsian dengan kawan-kawan kerana kekangngan masa saya hanyalah untuk anak-anak dan suami. Cuba berbuat baik dan berkongsi dengan jiran-jiran, hendak hidup bermasyarakat, tetapi lain pula jadinya."
Cerita di atas saya tulis dan olah untuk pengajaran bersama. Jangan terlalu suka menilai orang, kita sama-sama ibu bapa. Tanpa sedar, kita mungkin telah menyakiti hati ibu yang lain. Mungkin apa yang kita rasa tidak sama dengan apa yang terjadi. Seorang ibu mesti lebih mengenali anak-anaknya. Bukan sahaja lebih dari ibu lain, malah lebih dari bapa anak itu sendiri.
Saya sendiri pernah merasakan bahawa tidak elok meninggalkan anak walaupun sebentar, terutamanya semasa membesarkan anak pertama. Sekarangpun anak sudah dua, walaupun anak tidur dan saya sibuk bekerja, sekejap-sekejap saya akan melihat anak.
Saya juga pernah merasakan tidak patut meninggalkan anak-anak sendirian dirumah, tapi tidaklah sampai menghalang si ibu mengambil barang di hadapan rumah. Saya cuma ambil peringatan untuk diri sendiri, menilai orang tidak sama sekali.
Semoga kita sama-sama dapat menjadi ibu yang baik di dunia dan di akhirat. Semoga kita jauh dari sikap-sikap yang suka menyakiti hati orang lain. Nauzubillah..
No comments:
Post a Comment