Lihat jam sudah menjengah 12:20am ketika saya mula menulis. Sudah masuk hari baru rupanya.
Jadi doa dan azam saya untuk membekalkan satu post sehari di blog masih belum dapat saya capai hari ini. In Shaa Allah saya akan terus berusaha demi minat saya yang mendalam dalam bidang penulisan.
Menulis sambil membesarkan dua anak kecil sungguh mencabar, ada ketikanya idea sedang datang mencurah-curah tapi anak pula yang menangis minta susu. Belum sempat ambil buku catatan idea yang mentor suruh sediakan anak dah teresak-esak. Dapat anak-anak yang kalau menangis terus tekan gear lima. Kakak mahupun adik memang mempunyai kaletah yang hampir sama.
Tapi Alhamdulillah anak-anak saya baik-baik sahaja. Itu yang penting. Saya sentiasa berdoa semoga anak-anak sihat, sempurna, cerdik, berakal, berilmu dan beramal soleh. Semoga Allah SWT perelokkan akhlak mereka dan merdukan suara mereka untuk membaca Al- Quran dan Hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W
Doa ini saya olah semula daripada doa untuk ibu mengandung seperti di bawah ini:
Doa Ibu Mengandung |
Saya sangat sukakan doa ini kerana ia mencapai segala yang saya impikan untuk anak-anak saya. Dan memandangkan anak telah lahir keduanya, saya ubah doa ini mengikut kesesuaian.
Semoga doa ini sentiasa dimakbulkan oleh Allah SWT. Saya yakin dan percaya yang Allah SWT akan memakbulkan doa saya kerana doa adalah senjata bagi orang Islam.
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi" - (HR Hakim)
Jadi, jika mahu anak yang baik, soleh dan solehah, kena wajibkan diri untuk sentiasa doakan anak-anak. Terutamanya doa seorang ibu, yang tidak ada hijabnya untuk sampai kepada Allah SWT.
Baru sebentar tadi saya terbaca satu perkongsian di Facebook Puan Sarah mengenai satu pesanan Ustaz Pahrol Mohd Joi di satu majlis ilmu keibubapaan yang diadakan di surau Al-Kauthar S4, Bandar baru Bangi pada 1 Jan 2015.
Beliau menyuruh kita bersabar dalam mendidik anak-anak. Sebagaimana susahnya mendidik diri kita sendiri untuk solat di awal waktu, baca Al-Quran satu mukasurat sehari, mengerjakan amalan sunat seperti puasa sunat,Solat Dhuna dan Tahajjud, bersedekah dan membantu orang, begitulah susahnya kita hendak mendidik anak-anak mahupun orang lain. Matlamatnya sudah benar, ingin anak berjaya di dunia dan di akhirat tetapi sayangnya kita tidak cukup sabar dan bijaksana.
Anak-anak dilahirkan ibarat sehelai kain putih, kita sebagai ibubapalah yang mampu mencorakkan warna warni ke atas kain putih itu. Semoga kita sebagai Ibubapa mampu mendidik anak menjadi insan yang soleh dan solehah.
Yang paling utama pada hemat saya, kita kena perbetulkan matlamat, matlamat kita yang sebenar ialah mendidik anak menjadi Hamba Allah bukannya demi kepentingan diri sendiri. Saya masih ingat dalam salah satu ceramah agama yang saya pernah ikuti, sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengharapkan anak-anak untuk menjaga kita tetapi berharap dan berdoalah kepada Allah SWT. Hanya Allah SWT lah yang mampu membantu kita dan bukannya anak-anak. Mungkin anak-anak akan jadi perantara tetapi tidak semestinya anak-anak sahaja kerana ALLAH SWT lah yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. In Shaa Allah.
Selain berdoa, semenjak dari dalam kandungan saya telah berusaha dengan pelbagai cara demi anak-anak dan suami. Kedua anak saya masih menyusu badan. Si kakak 1 tahun 11 bulan pada 19 Januari 2015 ini masih menyusu penuh dan si adik 4 bulan masih menyusu secara ekslusif tanpa sebarang makanan. Pelbagai pahit manis telah saya telan bagi mencapai misi penyusuan anak mengikut sunnah Rasullullah SAW sekurang-kurangnya 2 tahun. Segala yang buruk saya buang jauh-jauh, saat manis perhubungan semasa menyusukan anak saya jadikan sebagai penguat semangat.
Selain penyusuan penuh, saya juga telah mula menjebakkan diri dalam pengendongan bayi semenjak selepas berpantangkan si kecil Ammar. Satu usaha yang boleh merapatkan hubungan ibu-anak, boleh meningkatkan tahap kesihatan anak, selain banyak membantu dalam menguruskan anak-anak.
Apa yang saya cuba sampaikan, selain berdoa, kita juga harus berusaha. Dengan izin Allah SWT, saya percaya yang semuanya akan baik-baik sahaja. Saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Mohon doa dari pembaca juga supaya saya kuat dan konsisten menulis untuk hari ini dan dihari-hari seterusnya. In Shaa Allah.
No comments:
Post a Comment