Monday, January 19, 2015

Pengalaman Berharga

Masih terkejut dan kagum dengan apa yang berlaku dua hari lepas. Sedar tak sedar rupanya terskip satu hari misi menulis. Jadi, matlamat satu hari satu post masih tidak kesampaian.

Segalanya dirasakan berlaku terlalu lambat. Petang sabtu 17/01/2015 yang lepas suami tiba-tiba sahaja mengajak kami ke Port Dickson. Saya yang sedang memasak pulut kuning dan rendang ayam menggunakan noxxa agak ralat kerana tiba-tiba sahaja idea suami itu datang. Walaupun saya pada kebiasaannya agak seronok berjalan-jalan tanpa dirancang tetapi kali ini saya mempertimbangkan masa yang agak suntuk, malam akan menjengah tiba, dua orang anak kecil, masa untuk bersiap, jarak perjalanan yang memakan masa hampir satu jam, badan yang sedang kepenatan dan situasi saya yang sedang memasak. Langsung tidak kena.

Saya pula jenis yang sukar untuk menolak, apatah lagi apabila permintaannya dari suami. Bermalas-malasan sahaja bersiap selepas tidurkan anak-anak. Suami pula meminta izin ke masjid untuk bersolat Asar dan saya redhakan. Apabila suami kembali, saya masih belum bersiap, apabila suami bertanya saya tidak tahu ingin cakap bagaimana agar suami tidak kecil hati. Tapi memikirkan masalah tak akan selesai juga dan sudah lewat, saya akhirnya berbincang juga dengan suami menceritakan keadaan yang tidak sesuai dan mencadangkan supaya kami keluar makan malam sahaja. Walaupun suami kelihatan agak ralat pada mulanya tetapi suami akhirnya akur dan bersetuju untuk ke Dataran Putrajaya sahaja kerana niat beliau ingin menbawa anak-anak bermain kerana risau anak bosan berada di rumah sahaja seharian. Saya pula hanya mengikut sahaja dan bersiap.

Sampainya kami ke Putrajaya yang jaraknya lebih kurang 30 minit sahaja disambut dengan hujan lebat dan kemudiannya gerimis. Tapi masih ada yang sanggup berpayung meredah hujan bermain dengan anak-anak. Kami melihat dari dalam kereta sahaja walaupun Damia dan tidak sabar mahu keluar. Perkataan "jom..jom..jom.." kerapkali keluar dari mulut beliau mengajak kami keluar. Kebetulannya sudah dekat maghrib. Sebab kenapa tempat ini menjadi pilihan adalah kerana lokasi di hadapan masjid. Kebiasaanya kami suami isteri mesti akan mempertimbangkan amanah yang satu ini jika kemana-mana.

Tidak lama kemudian Azan Maghrib berkumandang dan saya mencadangkan suami supaya terlebih dahulu pegi solat berjemaah dan kami akan menunggu di kereta dan selepas beliau bersolat suami akan menggantikan tempat saya menjaga anak-anak. Lagipun sebagai seorang lelaki dan ketua keluarga, dalam Islam lebih elok dan molek sekiranya suami bersolat jemaah di Masjid berbanding saya. Pada mulanya suami ingin kami semua keluar ke Masjid Putra tapi saya bimbang Damia tidak dapat saya kawal ketika beliau bersolat. Bimbang Damia bermain hujan dan saya pula tidak dapat mengejar kerana mengendong Ammar.

Selepas suami selesai bersolat saya pula keluar untuk bersolat di masjid dan pada kali ini suami ingin ikut sama dan membawa anak-anak. Saya pasangkan pengendong bayi berjenama Pognae ke badan suami dan beliau mengendong Ammar sementara saya memimpin tangan Damia. Suami pula memayungkan kami.  Memang mudah bila mengendong bayi, boleh lakukan dua kerja dalam satu masa. Ibu bapa yang masih belum pernah merasai sila lah cuba. Jangan dirisaukan anak kengkang atau apa, itu semuanya mitos. Jika masih kecil di bawah umur 4 bulan boleh gunakan pengendong bayi jenis wrap atau ringsling. Apabila telah berumur 4bulan ke atas sudah boleh guna SSC seperti kami. Untuk penjelasannya boleh hubungi saya. Saya akan kongsikan nota-nota yang saya ada. In Shaa Allah.

Berbalik pada cerita saya tadi, kami berempat kemudiannya masuk ke masjid bersama-sama. Apabila hampir ke tempat solat, saya dan suami membawa haluan masing-masing. Suami membawa anak ke ruangan lapang di bahagian tepi masjid dan saya turun ke tingkat bawah ke tempat mengambil wuduk. Kebiasaanya saya suka menggunakan lift tapi kali ini terlalu ramai pelajar yang saya agak mungkin ada program di sini, jadi saya gunakan tangga sahaja untuk turun ke bawah. Satu tingkat sahaja, tak ada masalah.

Selesai berwuduk saya menggunakan lift untuk ke tempat solat wanita di tingkat dua. Naik dua tingkat, rasa tinggi pula nak menapak mengguanakan tangga. Semasa di dalam lift sempat berbalas senyum dengan salah seorang dari pelajar yang ramai tu dan saya perasan loghat mereka bukan dari Malaysia walaupun masih boleh saya fahami. Saya lihat ada antaranya yang memakai jaket tertulis Brunei Darussalam dan membawa beg untuk bermalam.

Selesai bersolat sempat juga bertegur sapa dengan seorang pelajar yang katanya dari Jordan tapi berasal dari Indonesia. Bahasa Indonesianya terlalu pekat tapi dapat juga saya fahami kerana waktu masih belajar dulu dua daripada kakak saya pernah menggunakan khidmat pembantu rumah berbangsa Indonesia ketika anak-anak masih kecil. Yang dapat saya faham mereka mengikuti program pertukaran pelajar dan pada malam itu ada program Pendidikan Islam.

Bersambung....

Betapa Allah itu Maha Mengabulkan tiap permohonan hamba-Nya seperti firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 186,

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka) Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”

No comments:

Post a Comment