Tuesday, January 20, 2015

La haula wa la quwwata illa billah

Teks: Nurul Diyana Mohamed
Foto: Internet

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Harini nak berkongsi tentang zikir kegemaran saya dalam menempuhi kehidupan seharian. Memang kena zikir ini dengan jalan kehidupan saya.

لاَ هَوْلَ وَلاَ قُوَّتَ اِلاَّبِاللّه
ِ
La haula wa la quwwata illa billah
(Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata)

Dalam kehidupan yang mencabar seperti dunia sekarang kita sering menempuhi pelbagai dugaan dan rintangan.

Dari masa bersekolah, belajar di universiti, bekerja sebagai seorang jurutera, berkahwin, hamilkan anak sulung, mengorbankan kerjaya demi keluarga, memulakan bisnes online, menghamilkan dan melahirkan anak ke dua dan kemudiannya membuat keputusan untuk menjadi seorang penulis ada pelbagai rintangan yang terpaksa saya tempuhi.

Kisah-kisah seperti terpaksa berdikari seawal Darjah 4 kerana ibu disahkan menghidap ketumbuhan rahim, berulang alik berubat dan akhirnya melakukan pembedahan buang rahim semasa saya di menduduki UPSR, satu-satunya Datuk yang saya ada dan sayang meninggal ketika saya di Darjah 4, Ayah yang meninggal dunia tiba-tiba ketika saya masih baru mendaftarkan diri ke Tingkatan 4, dilanggar motosikal ketika pulang dari sekolah, mendaftarkan diri tanpa ibu ayah ke universiti, difitnah rakan baik sendiri beberapa kali, terpaksa melahirkan Damia secara pembedahan walaupun bukaan sudah 8cm, ibu yang menjaga saya patah di beberapa tempat kaki dilanggar kereta ketika 11 hari berpantang, menjaga ibu sakit dan berpantang dengan bayi di samping menjaga luka pembedahan sendirian, menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat, mendidik anak-anak dan banyak lagi, semuanya memerlukan saya menyedari bahawa tiada daya dan tiada kekuatan dalam diri saya kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.

Saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT berikan saya kekuatan dan ketabahan dalam menempuhi dugaan dan cabaran kehidupan ni. Tidak lagi terlintas bahawa diri sayalah yang paling malang di dunia tetapi sebaliknya saya menyedari di sebalik segala dugaan dan cabaran kehidupan itu terselit rahmat Tuhan.

Allah SWT tidak akan pernah menduga saya sekiranya saya tidak mampu untuk menghadapi. Dia menduga mengikut kemampuan saya dan jika sebaliknya itu kerana Dia mahu saya kuat, Dia mahu saya beringat kerana seringkali apabila kita dalam keadaan senang dan selesa terlalu mudah untuk kita melupakan Yang Esa.

Saya gunakan zikir ini untuk berdialog memohon redha Allah SWT dan mohon diberikan kekuatan. Mengaku sayalah insan yang lemah. Zikir inilah yang sentiasa bermain dalam minda saya setiap ketika saat diuji mahupun tidak.

Sebagai manusia biasa kita seringkali berbuat salah. Penting juga untuk sentiasa beristighfar memohon keampunan kerana dibimbangi ada salah dan silap kita yang tidak kita sedari yang membuatkan Allah SWT terpaksa memberikan kita peringatan. Bukan untuk kita menyalahkan takdir.

Teringat pula kisah penceritaan daripada rakan-rakan bagaimana seorang wanita yang kami kenali murtad semata-mata kerana diuji dengan kejadian rogol dan beliau menyalahkan Allah SWT. Nauzubillah. Mungkin juga kerana beliau tidak pernah merasa hidup susah kerana dilahirkan dalam keluarga berada. Tapi walaubagaimanapun, saat diuji, zikir lah ubat terbaik untuk hati.

In Shaa Allah.

No comments:

Post a Comment