Tuesday, March 10, 2015

Sepasang Anak, Suami dan Saya

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Cukup bahagia apabila tidak perlu penat memikirkan pembahagian masa antara kerjaya, anak-anak, suami dan rumahtangga. Cukup bahagia. .

Mulalah berangan-angan agar segala usaha sebelum ini berbaloi. Saya cuma tumpukan pada anak-anak, rumahtangga dan suami tetapi duit tetap masuk. In Shaa Allah, semua boleh berlaku dengan izin Allah SWT. Sekarang, anak-anak, suami dan rumahtangga keutamaan saya. Lebih bahagia begini, jadi tidak perlu terkejar-kejar untuk siapkan kerja. Cuma tetap berdoa Allah SWT kurniakan saya masa untuk siapkan kerja-kerja penting kedai dan segala urusan dipermudahkan-Nya. Amin...amin Ya Robbal Allamin.

Pagi ini saya cuba bangun awal untuk mengemaskini website www.nhdbabyshop.com kerana ramai pelanggan bertanya. Jika saya kemaskini sahaja, tidaklah saya kelam kabut nanti. Tinggal terima tempahan, semak bayaran dan buat pengeposan sahaja.

Tidak mahu menjadi hamba yang kufur nikmat, sebelum mula kerja saya solat dua rakaat dan mengaji dahulu tetapi baru selesai solat si tuan puteri dah menempel atas riba. Aduhai anak. Selesai mengaji semuka dua, sang putera pula bangun. Dugaan sungguh. Kerja belum mula tu. Si kakak kejutkan ayah, tapi ayah biasa lah masih lena tidur. Suami kesayangan saya gemba  bumi jadi pun dia tetap mahu rehat dan tidur. Anak-anak sudah bangun seawal 4.30 pagi.

Tapi saya rasa dia tidur lambat malam tadi, belajar selok belok saham katanya. Pensyarah Perbankan Islam la katakan, nak mengajar kenalah ada pengalaman baru boleh beritahu. Saya sendiri lebih suka pembelajaran berasaskan pengalaman berbanding teori.

Semasa bekerja sebagai jurutera projek dahulu saya tidak memandang jawatan besar dan selesa berkawan dengan orang lama tak kira apa jawatan, urusan saya sangat mudah apabila belajar dengan orang berpengalaman. Apa yang silap saya jadikan tauladan, apa yang betul saya jadikan panduan. Sudahnya, saya menjadi kesayangan semua. Agaknyalah. Kalau tidak, takkan ada yang sentiasa menyokong saya dan nak berhenti juga penuh cabaran. Beberapa kali surat permohonan berhenti kerja kena campak masuk tong sampah. Sudahnya saya terpaksa gunakan paksaan dengan bantuan setiausaha syarikat yang saya kenal rapat.

Masa tu impian saya hanya satu, mahu syurga Allah SWT melalui usaha menjadi isteri dan ibu yang solehah. Macam mudah sahaja saya berimpian. Tapi hakikatnya banyak lagi cabaran menanti apabila mengorbankan kerjaya yang bagus dan mempunyai ijazah yang juga bagus.

Adatlah bila ada yang menuduh saya malas bekerja, memaksa saya bekerja dan macam-macam lagi pandangan buruk.  Walaupun hakikatnya tiada seorang pun yang saya beri hak untuk menilai kehidupan kami. Padahal mereka tidak tahu bahawa kerjaya Jurutera Projek lah yang paling saya suka. Saya mengorbankan apa yang paling saya suka untuk sesuatu yang tidak pasti pada ketika itu. Keyakinan saya hanya pada Allah SWT.

Malah sehingga sekarang saya masih belum puas hati dengan rentak kehidupan kami. Masih mencari nada yang betul. Kekuatan saya untuk terus bertahan pada ketika ini hanyalah ibu yang saya cintai yang sentiasa menjadi teman baik dan menyokong saya dari segala segi. Beliau juga berkorban demi saya, suami dan anak-anak. Bayangkan sekiranya saya jurutera yang berjaya, sudah tentu beliau hidup senang. Tapi kini, beliau masa sama seperti dahulu, masih berdikari menoreh mencari rezeki di usia 61 tahun.

Bukan kata saya dan adik beradik tidak memberi wang tetapi hebatnya ibu kami, dia tidak pernah meminta duit dari anak-anak. Katanya, apabila anak-anak mengirimkan wang dia gembira, itu tanda ingatan anak-anak. Kadang-kadang, duit yang kami hantar dibiarkan terkumpul dalam akaun bank sehinggalah beliau benar-benar memerlukan seperti jatuh sakit atau inginkan sesuatu yang memerlukan kos yang banyak seperti memasang jeriji besi di rumah atau membaiki rumah. 

Cuma apa yang buat saya sedikit ralat adalah sekiranya saya mempunyai kewangan yang kukuh sudah tentu saya dapat memberi sebab supaya beliau berhenti bekerja kerana selama ini hanya saya yang menjadi teman baik dan saling menyokong. Malah berbohong kepada saya atas dasar terpaksa sahaja ibu tidak mampu.

Berbalik kepada cerita pagi tadi, sudahnya saya kemaskini website dengan Ammar yang tidak lekat dipegang dan Damia yang mengemaskan barang kedai. Cabaran sungguh bila bekerja dengan anak-anak. Bangun awal pun masih lagi ingin menemani. Duhai anakku sayang, jadi ummi kena banyak bersabar. Itu sahaja rahsianya, jangan tanya lebih. Apa-apa pun kuncinya hanya bersabar. Kalau hilang sabar, macam-macam boleh jadi.

Yang ajaibnya, dalam kesusahan itu saya dapat menyiapkan kemaskini website seadanya. Tidaklah masih pada tarikh promosi 18/2/2015 lagi segala banner yang ada. Syukur pada Allah SWT.

Baju kerja suami sudah siap digosok dari semalam lagi, sengaja lebihkah untuk beberapa hari supaya dapat jimatkan elektrik. Sebagai jurutera elektrik saya memang tahu penggunaan alatan pemanas seperti seterika elektrik tinggi penggunaan pada peringkat pemanasan. Kemudian baru stabil. Jadi nak jimatkan elektrik silalah gosok banyak baju dalam satu masa. Jika mampu gosok untuk tempoh penggunaan seminggu terus.

Hari ini suami mohon pergi kerja awal, tidak sempat sarapan. Setengah jam lebih awal kerana katanya banyak kerja. Damia pura-pura terbaring sakit kaki mohon ayah angkat. Tapi sebenarnya kami tahu dia mahu ikut ayahnya pergi kerja. Terlebih panjang pula akal sang puteri sejak akhir-akhir ni. Sudahnya si ayah bawa pergi punch card dan hantar balik semula.

Suami pergi kerja, saya pula memasak pulut kuning untuk dipadankan dengan rendang semalam. Juga guna noxxa (perkhidmatan kutu disediakan). Pagi-pagi makan pulut kuning? Kalau anda mahu tahu, di kelantan kami ada menu pulut pagi. Jadi apa beza?

Kata orang tua-tua sebab itulah kulit orang kelantan cantik-cantik. Fakta atau auta tidak pula saya berminat untuk kaji buat masa ini.

Selepas siap bersarapan anak-anak pula meragam minta perhatian. Mengantuk kerana bangun awal. Duhai anak. Layankan Ammar bagi lena, Damia pula minta layanan, layankan Damia bagi lena, Ammar pula terjaga. Tengok jam dah pukul 11 pagi. Telefon mengadu pada suami sudahnya habis macam tu je masa saya harini. Dalam hati tetap berdoa mohon Allah SWT permudahkan.

Tapi ajaibnya kuasa Allah SWT selepas tu anak-anak senang diuruskan walaupun tidak tidur. Saya sempat menyapu satu rumah dan mengelap. Siap layankan anak belajar guna VCD Pembelajaran Al-Furqan dan memgemas dapur. Hampir sahaja waktu suami balik makan tengahari anak minta layanan lagi. Yang tinggal hanya memasak. Jadi, suami tolong masak nasi tanpa dipinta.

Berterima kasih sangat sebab suami sudah lebih ringan tulang membantu saya sekarang. Tidaklah langsung tidak dibantu sebelum ini tetapi cuma sekarang, saya gembira suami lebih memahami. Menolong tanpa dipinta. Alhamdulillah.

Apabila anak sudah terurus, saya mula masak untuk makan tengahari guna noxxa. Sesuai untuk yang mahu makan yang istimewa tetapi cepat. Ummi masak kambing grill siap dengan sos istimewa dan sup sayur untuk suami, tambahan ikan masin goreng pula untuk saya. Itupun resipi entah ke mana. Main buat sahaja, nasib baik jadi. Itulah ajaibnya periuk noxxa ni. Perut kenyang makan sedap. Saya memang suka sangat makan kambing grill semenjak mengandungkan Ammar. Putera hebat saya. Tetapi memasaknya sendiri baru pertama kali. Menjadi dengan periuk noxxa.

Suami pastikan saya selesaikan urusan mandi dan solat sebelum pergi kerja semula lagi. Sangat berterima kasih. Selesai semua bermulalah urusan perang saya dan anak-anak semula. Penuh cabaran tapi saya suka. Penat lelah ini tidak mahu saya pedulikan. Yang penting saya ikhlas kerana Allah SWT. Biar susah sekarang asal di akhirat nanti senang. In Shaa Allah.

Jumpa lagi.

www.nhdbabyshop.com

No comments:

Post a Comment