Monday, March 9, 2015

Utamakan Allah SWT Dan Keluarga

Teks: Nurul Diyana Mohamed

Sudah sehari dua tidak menulis, terasa rindu yang amat. Tetapi setiap kali memegang telefon pintar, ada sahaja kehendak anak yang perlu dituruti. Sampaikan, saya rasa saya perlu merujuk pada yang pakar kerana banyak betul tugasan kedai yang tertangguh kerana kesuntukan masa.

Kata sifu ABDR saya Kak Masayu, jangan bagi masa yang kawal kita tetapi biar kita yang kawal masa. Ada benarnya, tetapi hati degil saya mengatakan, bukan saya bagi masa yang kawal saya tetapi anak-anak mengawal saya, bos besar saya. Kerana penyebab kesuntukan masa itu adalah kerana anak-anak masih kecil, sedang aktif dan perlukan lebih perhatian.

Mana tidaknya, Ammar sudah pandai maju ke depan. Sekejap sahaja sudah mahu jatuh tilam. Langsung tidak boleh leka. Si kakak pula kuat sedang aktif dengan pelbagai aktiviti dan perlu pantauan. Mengusik dan mengajuk adik pun kuat juga. Ada masanya datang geram sayang pada adik dipeluknya kuat-kuat. Adik yang lemas tapi bukan salah kakak, dia masih belum faham apa itu timbang rasa. Menjadi tanggungjawab saya dan suami untuk menjadi lebih prihatin. Terutamanya saya yang ada dengan anak-anak dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu.

Dalam masa yang terhad dan impian besar saya untuk menjadi suri bekerjaya yang mempunyai sumber kewangan yang stabil, saya jadi terbeban tanpa saya sedari. Sedaya upaya mencari masa untuk menyiapkan kerja-kerja kedai yang tergendala. Saya lemas dalam tugasan harian tanpa teman, tanpa pembantu kerana suami juga kebetulannya sibuk dengan kerja-kerja audit.

Tapi semalam saya terbaca satu artikel daripada salah seorang pembekal yang juga saya anggap mentor kerana dari beliau juga saya banyak belajar. Beliau yang lebih lama dalam perniagaan online dan mempunyai empat anak kecil telah berkongsi pengalaman dan apa yang telah dipelajari selama ini.

Antara intipati perkongsian beliau yang terkesan di hati saya adalah tentang mengutamakan Allah SWT, urusan keluarga dan mendidik anak-anak terlebih dahulu kemudiannya baru selesaikan urusan kerja kedai online. Redha Allah SWT terletak pada ibadah yang paling utama patut kita dahulukan.

Inilah jawapan yang saya cari-cari sebenarnya, saya telah ada kedai online di www.nhdbabyshop.com, page NHD BABY SHOP dan akaun peribadi Nhdbaby Diyana. In Shaa Allah kalau Allah SWT nak beri rezeki, peluang sentiasa terbuka. Jadi, saya utamakan keluarga saya terlebih dahulu. Selebihnya, saya mohon pada Allah SWT untuk beri saya rezeki.

Hari ini saya bangun menyelesaikan urusan rumahtangga seperti menyiapkan suami ke tempat kerja, sarapan, memandikan, mendidik dan menidurkan anak-anak dengan lebih tenang. Dengan mind set yang baru. Di samping tidak putus-putus berdoa semoga Allah SWT permudahkan urusan saya, murahkan rezeki saya dan beri saya masa untuk selesaikan kerja kedai online saya.

No comments:

Post a Comment